HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan bahawa model YZF-R25 kini ditawarkan dengan dua warna terbaharu iaitu Midnight Star dan Racing Blue. Sekali pun YZF-R25 menerima pembaharuan dari segi kesegaran torna warna, jentera dalam segmen sport bike ini kekal pada harga yang ditawarkan tahun lepas iaitu pada tag harga RM22,998.00 (tidak termasuk cukai pendaftaran dan perlindungan insuran).
Yamaha YZF-R25 versi 2023 masih menggunakan enjin dua silinder selari suntikan bahan api 249cc DOHC penyejukan cecair serta kotak enam gear kelajuan. Enjin bagi model ini menghasilkan 26.4 kW pada 12,000 rpm dan tork pula adalah 22.6Nm pada 10,000 rpm.
Model ini turut dilengkapi dengan lampu isyarat jenis LED manakala ia dilengkapi dengan brek cakera samada di depan dan belakang dengan sistem pemberhentian ABS. Pemilik baharu boleh mendapat model YZF-R25 pada warna baharu bermula 23 Mac ini di semua pengedar Yamaha terpilih di seluruh negara. Anda juga boleh menikmati faedah tambahan apabila pembelian model ini bakal menerima kunci cakera keselamatan Yamaha bernilai RM 100.