Seramai 45 orang ahli Crew RS150 Perak Official (CRS Perak Official) telah menyertai satu konvoi rasmi ke Malaysia Cub Prix Pusingan 2 Sepang Utara 2026. Program yang penuh dengan semangat permotoran ini diketuai oleh saudara Zam, selaku Presiden Kelab bagi memastikan perjalanan konvoi berlangsung dengan lancar, tersusun dan selamat.
Seawal jam 6.00 pagi, semua peserta berkumpul di RNR Tapah sebagai lokasi (RV). Kesemua ahli tampil segak mengenakan pakaian rasmi CRS PERAK OFFICIAL, menyerlahkan semangat perpaduan, disiplin dan identiti kelab. Sebelum memulakan perjalanan, satu sesi taklimat ringkas berkaitan keselamatan jalan raya, susunan konvoi dan tatacara tunggangan telah disampaikan oleh ketua konvoi bagi memastikan setiap peserta sentiasa mematuhi peraturan serta mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan.

Tepat jam 6.30 pagi, konvoi memulakan perjalanan menuju ke Honda Impian X Welly Team Petaling Jaya. Sepanjang perjalanan, semua peserta menunggang secara berhemah, mengekalkan formasi konvoi yang kemas dan saling membantu antara satu sama lain. Sikap bekerjasama dan semangat setiakawan yang tinggi menjadi contoh terbaik kepada komuniti penunggang motosikal.
Konvoi tiba di Honda Impian X Welly Team PJ sekitar jam 9.00 pagi bagi menghadiri sesi pendaftaran serta pengambilan baju rasmi Konvoi Honda Impian X. Ketibaan rombongan konvoi disambut dengan penuh meriah oleh Boss Sam bersama seluruh kakitangan Honda Impian X Welly Team Petaling Jaya. Sambutan yang mesra dan layanan yang begitu baik membuatkan semua peserta berasa amat dihargai.

Selepas selesai urusan pendaftaran, para peserta mengambil peluang merakam pelbagai gambar kenangan bersama pihak penganjur dan ahli-ahli konvoi lain. Selesai sesi bergambar, perjalanan diteruskan menuju ke Sepang International Circuit, diketuai saudara Zam dan dibantu saudara Erik Muzzammil yang bertindak sebagai marshal konvoi. Perjalanan berjalan lancar hasil kerjasama semua peserta yang sentiasa mematuhi arahan dan mengamalkan tunggangan berhemah.
Setibanya di lokasi Malaysia CubPrix Pusingan 2 Sepang Utara 2026, para peserta disajikan pelbagai aktiviti yang menarik perhatian ribuan peminat sukan permotoran dari seluruh negara. Antara aktiviti yang dinanti-nantikan ialah lawatan ke Pit Stop Paddock pasukan-pasukan yang bertanding. Para pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat jentera perlumbaan, mengenali mekanik serta bertemu pelumba-pelumba profesional yang beraksi dalam kejohanan tersebut.

Selain itu, sesi bergambar turut diadakan bersama jentera perlumbaan dan pasukan-pasukan yang bertanding. Pengunjung turut berpeluang menyertai sesi soal jawab yang menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada mereka yang berjaya menjawab soalan berkaitan dunia permotoran. Bagi pengunjung terawal yang hadir ke Pit Walk, pihak penganjur turut mengadakan agihan cenderahati sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan.
Suasana di kawasan acara turut dimeriahkan dengan pameran barangan motosikal, pelbagai gerai makanan dan minuman, jualan baju serta aksesori motosikal, selain cabutan Lucky Draw yang menawarkan hadiah-hadiah menarik. Antara tarikan utama ialah jualan Beg Goodies Petronas, di mana hadiah utama yang ditawarkan ialah sebuah Honda RSX150 Winner, sekali gus menambahkan lagi keterujaan para pengunjung.
Kemuncak acara sudah pastinya perlumbaan akhir Malaysia CubPrix Pusingan 2, yang menyaksikan pelumba-pelumba terbaik negara berentap dengan aksi penuh mendebarkan. Sorakan penonton yang memenuhi litar menambahkan lagi kemeriahan suasana dan memberikan pengalaman yang sukar dilupakan kepada semua ahli konvoi.

Selepas acara rasmi berakhir sekitar jam 5.00 petang, rombongan konvoi bergerak pulang dan singgah di RNR Dengkil untuk menikmati sesi minum petang sambil berkongsi pengalaman, berbual mesra serta mengimbau detik-detik menarik sepanjang program. Suasana santai ini mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan semangat kekeluargaan dalam kalangan ahli-ahli CRS Perak Official.
Secara keseluruhannya, Konvoi Crew RS150 Perak Official Ke Malaysia CubPrix Sepang Utara 2026 telah berlangsung dengan jayanya. Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada ahli menikmati suasana perlumbaan bertaraf kebangsaan, malah berjaya mengukuhkan ukhuwah, memupuk disiplin berkumpulan serta mempromosikan budaya penunggangan motosikal yang selamat dan berhemah.
Setinggi penghargaan diucapkan kepada kepada semua ahli yang telah memberikan komitmen, kepada Boss Sam serta seluruh warga Honda Impian X Welly Team Petaling Jaya atas layanan yang sangat baik. Semoga kita berjumpa lagi dalam program dan konvoi CRS Perak Official yang akan datang.
“ENJOY YOUR RIDE WITH CRS PERAK – ALWAYS STAND TOGETHER.”
Perkongsian : Zam CRS150 Perak Official






















