Semangat cintakan negara tanpa batasan politik, agama dan bangsa harus disemai sejak kecil lagi demi melahirkan generasi yang mengutamakan kepentingan negara secara seluruhnya. Bukannya kepentingan bersifat peribadi yang sejak kebelakangan ini semakin mengelirukan masyarakat.
Oleh itu, program yang diusahakan oleh Sekolah Kebangsaan Relau di Kedah ini layak mendapat pujian khususnya peneraju utamanya iaitu tuan pengetuanya Encik Hamizul Bin Othman. Hari Keusahawanan Semarak Kibarkan Jalur Gemilang ini menyaksikan penyertaan yang cukup memberangsangkan sekali gus membakar semangat generasi pelapis kita di peringkat awal lagi.
Bagi meraikan dan menyemarakkan lagi penganjuran program ini, beberapa kelab motosikal telah dijemput hadir. Antaranya seperti Alternative Riding Club, Awi Biker and Team dan Club Antique Motorcycle Kulim yang disertai seramai 19 orang ahli serta diterajui oleh En. Abdul Razak Bin Buhari selaku pengerusi.
Dianggarkan seramai lebih 2500 orang pengunjung telah menghadiri program ini yang turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Pasukan Bomba Sukarela Sg Jawi, Nibong Tebal, Parit Buntar, Pejabat Penerangan Bandar Baharu, IPD Seberang Perang Selatan, IPD Bandar Baharu, Balai Polis Sg. Bakap dan Pejabat Rela Bandar Baharu.
Tahniah diucapkan kepada Sekolah Kebangsaan Relau yang berjaya menganjurkan program untuk menyuburkan lagi kecintaan dan semangat sayangkan negara kita, Malaysia!