Kalau anda peminat dunia permotoran dua roda dan dalam masa yang sama, pengumpul koleksi LEGO, pastinya set terbaharu ini sesuai dijadikan sebagai simpanan peribadi. Ditawarkan dalam katalog LEGO Technic yang terkini, peminat filem Batman pastinya tidak sabar untuk mendapatkan Batcycle ini dan disimpan dalam koleksi masing-masing.
Sebanyak 641 bongkah atau unit Lego, set ini disasarkan untuk para peminat LEGO dan Batman dari usia 9 tahun dan ke atas. Memandangkan ia mainan LEGO Technic, sudah tentu tidak lengkap tanpa bahagian yang boleh bergerak. Justeru, Batcycle ini didatangkan dengan stereng, suspensi dan juga enjin H4 serta rantai untuk menyambungkan enjin kepada bahagian tayar belakang.
Bukan itu sahaja, ‘center stand’ yang boleh dilipatkan juga ada dalam set ini bertujuan memudahkan anda mempamerkan Batcycle sebaik sahaja habis dibina. Berapa pula ukuran Batcycle ini? Ukurannya adalah sekita 6.5 inci (16cm), tinggi pula 13-inci (33cm) dan panjang dan lebarnya adalah 4.5-inci (11cm). Saiz ini memang sesuai untuk dipamerkan tetapi tidak cukup besar dan menyukarkan kerja-kerja pemasangannya.
Sebagaimana kit LEGO yang lain, kit Batcycle ini didatangkan dengan arahan yang jelas untuk memudahkan kerja-kerja pemasangan. Kepada golongan yang lebih cekap dengan visual, LEGO menyediakan aplikasi LEGO Builder yang membolehkan anda melihat model 3D agar dapat membinanya dengan mudah. Aplikasi ini membantu anda memusingkan atau zoom untuk melihat model ini dengan lebih dekat.
Malangnya, anda perlu menunggu beberapa bulan untuk memilikinya kerana kit LEGO Technic Batcycle masih belum ada di pasaran. Menurut pengeluar mainan ini, tarikh rasmi ia bakal berada di pasaran adalah pada 1 Mac 2023 dengan harga $49.99 (RM219.86).