Menjelang kedatangan tahun baharu yang lalu, tapak parking stadium Darulaman telah dibanjiri orang ramai sempena penganjuran Karnival Ulang Tahun 2 Dekad MBAS (Majlis Bandaraya Alor Setar) dan juga Ambang Tahun Baru.
Bagi menyemarakkan lagi suasana, pihak penganjur telah memberi tanggungjawab kepada Kelab Sukan Bermotor Langgar untuk menjayakan segmen Motorshow yang diadakan pada 31 Disember lalu. Demi menggalas tanggungjawab yang diberikan sebaiknya, Kelab Sukan Bermotor Langgar telah bekerjasama dengan DZIA Perfect Design serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah.
Acara bermula sekitar pukul 12 tengah hari dan berakhir kira-kira pukul 6 petang serta menerima sambutan cukup menggalakkan dari para peminat juga penggiat dunia permotoran dua roda. Sebanyak 50 buah motosikal telah menyertai acara pada kali ini dan sebanyak 6 kategori telah dipertandingkan.
Kategori-kategori yang dipertandingkan ialah Airbrush Open, Standard Modified Open, Klasik Open, Klasik Karat / Reput, Sticker Open dan Rim Sukan Open. Selain Motoshow, turut diadakan ialah pertandingan Motor Lambat untuk pengunjung serta para peserta motorshow.
Tidak ketinggalan, segmen Cabutan Bertuah juga turut disediakan dan hadiah-hadiah ditaja oleh para penaja. Setinggi penghargaan kepada pihak Koyoko dan FKR kerana sudi menyumbangkan hadiah-hadiah untuk segmen Cabutan Bertuah pada kali ini.
Majlis penyampaian hadiah dan Cabutan Bertuah telah disampaikan oleh Mohd Shafizan Bin Abu Bakar, Pegawai Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah dan YB Muhamad Amri Bin Wahab, ADUN Derga. Acara berakhir dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang motoshow dan acara motor lambat.