Diadakan pada 22 Oktober lalu, Northern Youth Carnival 2022 mempunyai matlamat dan objektif penganjuran yang tersendiri. Bermula seawal pukul 8.00 pagi dan berakhir sekitar pukul 6.00 petang, program ini menghimpunkan para belia mengikut tatacara SOP yang ditetapkan dan secara tidak langsung, merapatkan jurang di antara golongan dewasa dan juga golongan belia.
Dengan pendekatan sebegini, secara tidak langsung dapat memberi ruang perkongsian pendapat dan cetusan idea membaik pulih ekonomi dalam kalangan belia masa kini. Selain itu, ia juga diharapkan dapat mengukuhkan ukhuwah antara golongan belia supaya belia Pulau Pinang tidak dipinggirkan khususnya dalam perkongsian masalah juga idea.
Penganjuran acara ini juga diharapkan dapat memberi pengetahuan kepada golongan belia permotoran tentang langkah-langkah menunggang secara berhemah dan berdisiplin. Dianjurkan oleh Alumni Mahasiswa Pulau Pinang (AMPP) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan juga kerjasama erat dari Lingkaran Luar Butterworth (LLB), pelbagai aktiviti telah disediakan.
Antara aktiviti yang berjaya menarik perhatian ramai termasuk senamrobik (zumba), pertandingan motorshow, pameran dan jualan barang kering dan makanan diikuti pameran dari pihak swasta. Tidak ketinggalan, segmen cabutan bertuah yang menawarkan sebuah motosikal Yamaha Y16ZR.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YDH Tuan DSP Emmi Shah Bin Fadhil, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah, wakil kepada Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Pulau Pinang. Acara turut dimeriahkan lagi dengan barisan artis jemputan seperti Baby Shima.
Kehadiran tetamu lain seperti Rozaiman, Malaysia Cub Prix Rider turut menyemarakkan lagi suasana. Keletah bersahaja dan melucukan pengacara iaitu Abu Mamu Laparpo menceriakan lagi keadaan.
Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak penganjur dan barisan penaja yang sudi menaja penganjuran acara ini seperti KB Soon Huat Motor, CKT Motor, Koyoko, FT Garage, ESW, Dr Event, Barakath Group dan juga Sunquick. Acara berakhir dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang motorshow dan juga cabutan bertuah dengan hadiah utamanya, sebuah motosikal Y16ZR.