Pada hujung tahun lalu, Kelab Permotoran Northern Versys Owners Group (NVOG & Friends) telah mengadakan ekspedisi ke 1000 korner (Thousand Corner). Dikenali sebagai Tri-Adventure Rides 2018 Road to Mae Hong Son, pengembaraan ini mengambil masa selama 11 hari bermula dari 5 Disember hingga 16 Disember lalu. Impian 35 peserta ahli NVOG & Friends untuk menjejak kaki di titik terakhir 1,864 selekoh Mae Hong Son yang turut menjadi impian dan sasaran setiap bikers ke Thailand akhirnya menjadi kenyataan. Sebanyak 25 penunggang motosikal berkuasa tinggi telah berjaya ke sana menggunakan jentera masing-masing dan semuanya bermula dengan semangat kental dari hari pertama perjalanan lagi.
Hari pertama – Penang – Sadao
Bermula dari Pulau Pinang sebelum melalui Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Bukit Kayu Hitam. Berhenti di Napoh, Changlun untuk urusan insurans. Perjalanan fasa pertama dari Pulau Pinang ke Sadao, Thailand disambut hujan lebat sebelum tiba di Siamthana Hotel. Bermalam dengan kadar 790 baht.
Hari kedua – Sadao – Phachuap Khiri Khan
Tepat jam 7.00 pagi, pengembaraan bermula dari Sadao ke Phachuap Khiri Khan sejauh lebih 730 kilometer melalui Phattalung. Singgah di Route 41, Phattalung sebelum ke Surat Thani untuk makan tengah hari. Tiba pada jam 7.15 malam di Hotel Warawan Resort untuk bermalam dengan kadar 550 baht satu bilik. Sukar mendapatkan makanan halal kerana penduduk Thailand beragama Islam cuma minoriti berbanding yang beragama Buddha. Terdapat kedai makan beragama Islam tetapi disebabkan lewat tiba, kedai sudah tutup. Para peserta membeli makanan di 7-Eleven, sebungkus burger ayam untuk makan malam selain mengharapkan bekalan makanan yang dibawa sebagai tambahan bagi mengelak kelaparan.
Hari Ketiga – Phachuap Khiri Khan – Nakhon Sawan
Perjalanan dimulakan sekitar jam 8.00 pagi menuju ke Nakhon Sawan, sejauh lebih 600. Singgah di Amphoe Pran Buri, Hua Hin untuk sarapan pagi di PTT Station Hua Hin. Tiba di Rajabakthi National Park pada jam 10.15 pagi, bergambar seketika. Perjalanan diteruskan ke Cha Am, Ayyuthaya dalam keadaan cuaca yang cukup panas dan tiba di Nakhon Sawan pada jam 5.35 petang. Bermalam di P.A Palace Hotel Limited dengan kadar bilik 550 baht. Pada waktu malam, para peserta dibawa ke sebuah restoran Islam Aminyan Halal Food yang menghidangkan makanan yang cukup enak. Masa dihabiskan dengan bersiar-siar di pasar malam Nakhon Sawan.
Hari Keempat – Tak – Chiang Mai
Perjalanan bermula dari Nakhon Sawan – Tak – Chiang Mai sejauh 474 kilometer dan dimulakan seawal jam 8 pagi. Tiba di Tak pada jam 10.15 pagi, bersarapan pagi Nasi Ayam kerana ia cepat dan sedap. Tiba di Chiang Mai pada jam 4 petang dan bermalam di Hotel Ban Krungthai dengan kadar 500 baht sahaja. Pada sebelah malam, para peserta bersiar-siar di Night Bizzare Market untuk makan malam dan membeli cenderhati. Singgah ke Chiang Mai Bike Week yang kebetulan turut diadakan pada hari itu dan sempat mencuci mata melihat motor klasik dan lain-lain.
Hari Kelima – Chiang Mai – Doi Ithanon – Mae Hong Son
Cabaran sebenar bermula pad hari kelima ini untuk menawan 1,864 selekoh sejauh 274 kilometer. Dimulakan tepat jam 8 pagi dengan jentera kesayangan masing-masing dan terus beraksi cemerlang. Perjalanan bermula dalam kadar cuaca sejuk dan suhu ketika itu sekitar 17’C dan tiba di Check Point pertama di Doi Ithanon National Park. Bayaran masuk dikenakan sebanyak 300 baht untuk tiket masuk dan 150 baht untuk caj sebuah motosikal.
Perjalanan masuk melalui Doi Ithanon National Park cukup mencabar dan cabaran bertambah kerana kebetulan ia merupakan hari cuti dan kesempatan ini digunakan rakyat Thailand untuk melawat menyebabkan seluruh kawasan pintu masuk sehingga 2nd Check Point sesak dengan kenderaan termasuk van, kereta dan motor yang naik turun. Para peserta menggunakan kesempatan yang ada dengan bergambar di dataran Doi Ithanon sebagai kenangan.
Sebuah motosikal ditunggang rakan NVOG tergolek selepas mengelak dihempap motor BMW GS1200 yang tiba-tiba terbalik ketika cuba berhenti. Namun kegentaran ditebus dengan semangat untuk menawan puncak Doi Ithanon dan perjalanan diteruskan. Perjalanan ke Mae Hong Son cukup mencabar mental dan fizikal serta teknik tunggangan yang sempurna kerana terlalu banyak selekoh tajam yang perlu ditempuhi. Perhatian ditumpukan sepenuhnya selain menjauhkan sedikit jarak motosikal antara satu sama lain bagi mengelak kemalangan dan kejadian yang tidak diingini.
Kesemua 25 motosikal berjaya menempuh perjalanan sejauh 274 kilometer dan tiba di Amphoe Mae Chaem dengan melalui beberapa puncak yang cukup cantik dengan pemandangan yang indah sebelum tiba di garisan penamat The Winner Mae Hong Son tepat jam 4.15 petang, bersyukur kerana berjaya mencatatkan rekod menawan 1,864 selekoh dengan selamat.
Kegembiraan tidak terhenti di situ, masing-masing bersemangat untuk tiba ke pekan Mae Hong Son. Tiba di Masjid Nuruth Taqwa, Mae Hong Son untuk makan malam dan bergerak pula ke Hotel Mae Hong Son. Bermalam di bilik dorm dengan kadar 150 baht serta bilik sekitar 600 bath. Kegembiraan menyempurnakan impian mengatasi keletihan sehingga lupa makan malam tapi tetap keluar ke Night Market Mae Hong Song untuk membeli t-shirt dan pelekat motor eksklusif Mae Hong Song yang digilai ramai. Kembali ke hotel dan sepakat untuk makan beramai-ramai dengan mengeluarkan stok makanan yang dibawa seperti mee segera, pisang, biskut dan kopi panas sebelum pulang ke bilik untuk berehat.
Hari Keenam – Mae Hong Son – Pai
Bersarapan nasi putih dan berlauk ayam yang dimasak oleh Imam Masjid Nuruth Taqwa, Mae Hong Son dengan kadar 120 baht sahaja. Perjalanan diteruskan ke The Mae Hong Song Chamber of Commerce untuk mengambil dan membeli sijil menawan Mae Hong Son dengan 100 baht termasuk satu pelekat eksklusif. Tepat jam 1 petang, pengembaraan diteruskan ke Pai,Thailand sejauh 178 kilometer. Sepanjang perjalanan menyusuri laluan berbukit dan berkesempatan melawat beberapa banjaran yang cukup indah sebelum tiba di Pekan Pai pada jam 3.45 petang.
Berhenti solat di Masjid Pai sebelum pergi menjamu selera di kedai makan berhampiran dan bergerak ke hotel Diamond De Pai untuk berehat dengan kadar 900 baht semalam. Cuaca sejuk menyelubungi bandar Pai dengan suhu 17’C – 18’C. Kemudian, para peserta mengunjungi Memorial Bridge di Pai untuk melihat jambatan tinggalan zaman perang dunia ke-2 yang digunakan askar Jepun dari Chiang Mai ke Pai untuk menyerang Burma. Pelbagai sejarah ada pada jambatan kayu yang dibina pada 1941 ini. Sejurus itu, para peserta pergi ke Night Market Pai yang terletak kira-kira 2 km dari hotel.
Hari Ketujuh – Pai – Phitsanulok
Pada suhu 16’C, para peserta memulakan perjalanan seawal jam 8 pagi menuju ke Chiang Mai untuk ke Phitsanulok dan singgah bersarapan di Maesae Islam Restaurant. Sebelum meneruskan perjalanan, konvoi singgah di sebuah kedai membaiki motosikal untuk menukar tayar salah seorang sahabat NVOG yang sudah nampak benang. Setelah selesai, perjalanan diteruskan menggunakan laluan Route 11 menuju ke Phitsanulok dan singgah di PTT Station untuk solat. Tiba di pekan Phitsanulok tepat jam 7 malam. Bermalam di Pricess Green Hotel yang berharga 650bath semalam. Hotel ini berhadapan dengan kedai makanan muslim yang kebanyakannya berasal dari Pakistan dan terdapat sebuah Masjid Pakistan berdekatan. Selepas menjamu selera, para peserta bersiar-siar sekitar pekan Phitsanulok termasuk Night Market Bazzar dan Station Keretapi Phitsanulok untuk bergambar sebelum pulang ke hotel.
Hari Kelapan – Phitsanulok – Lopburi
Bersarapan di hadapan hotel sebelum bergerak menuju ke Route 12 Cafe, jalan serta laluannya berbukit-bukau diikuti pemandangan yang cantik dan kabus awan nano bergulung-gulung di puncak Phu Tu Berk. Setelah tiba di Route 12 Cafe, konvoi singgah sebentar untuk berehat di salah satu Pit-Stop pilihan para pengembara untuk mendapatkan koleksi kemeja-t dan pelekat sebagai kenangan tanda telah sampai ke sini.
Perjalanan diteruskan ke pekan Phetchabun untuk makan tengahari dan solat di kedai Muslim yang ada di situ serta singgah di Kawasaki servis center Phetchabun bagi memerikasa jentera salah seorang peserta yang mengalami masalah kabel clutch. Setelah dibaiki tanpa sebarang kos dikenakan, konvoi bergerak menuju ke Lopburi dan singgah di Route 21 Cafe & Restaurant tapi malangnya masih belum waktu operasi. Konvoi tiba di pekan Lopburi pada 8.00 malam waktu Thailand dan menginap di Lopburi Inn dengan harga 550bath semalam. Memandangkan agak lewat, para peserta masak dan makan beramai-ramai dalam cuaca dingin dan angin kencang bertiup.
Hari Kesembilan – Lopburi – Hua Hin
Tepat jam 8 pagi selepas bersarapan roti bakar di Hotel, konvoi mulakan perjalanan ke Sunflower Farm yang merupakan sebuah ladang matahari terbesar dan luas terbentang serta memukau saujana mata memandang. Para peserta meluangkan masa selama 2 jam sebelum meneruskan perjalanan ke Suphan Buri untuk makan tengahari. Tiba di Suphan Buri tepat jam 11.45 tenghari dan singgah makan di kedai muslim yang ada di situ. Konvoi meneruskan perjalanan ke Hua Hin melalui Suphan Buri – Ratchaburi dan tiba pada jam 6 petang. Setelah mendaftar di hotel, para peserta berehat dan keluar semula untuk bersiar-siar sekitar Night Market yang tekenal dengan pengunjung luar dan makan malam di Restauran Mooz milik orang islam sebelum kembali ke Hotel untuk berehat.
Hari Kesepuluh – Hua Hin – Hatyai
Jarak perjalan pada hari ini ke Hatyai sejauh 700km. Konvoi memulakan perjalanan seawal jam 7 pagi dan singgah bersarapan di RnR Phachuap Khiri Khan yang lengkap dengan Gerai Makanan Halal. Selepas bersarapan, konvoi meneruskan perjalanan ke Hatyai yang disambut hujan lebat di sekitar Chumphon – Surat Thani dan singgah makan tengahari sebelum meneruskan perjalanan ke Hatyai.
Konvoi selamat tiba di pekan Hatyai tepat jam 8 malam dan setelah berjaya mendapatkan hotel, konvoi menuju ke pusat tumpuan berdekatan dengan Lee Garden Hotel untuk membeli-belah serta bersantai dan bertemu ramai pengunjung dari Malaysia yang turut bercuti disitu.
Hari Kesebelas – Hatyai – Penang
Setelah bersarapan, konvoi bergerak pulang menuju ke Sadao dengan jarak sejauh 178km. Tiba di pekan Danok untuk mengambil barang dan membeli belah sebelum keluar melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam dan pulang ke destinasi masing-masing.
Pengalaman pengembaraan Tri-Adventure Rides 2018 kali ini amat menarik dan para peserta bersyukur kerana dihindari sebarang musibah sepanjang perjalanan. Jutaan terima kasih kepada semua peserta Tri-Adventure Rides 2018 yang bejaya menamatkan misi kembara ke 1000 korner berjaya ditakluk dan akan menjadi kenangan bersejarah buat semua.