Diadakan pada 6 Januari lalu, hampir 40 motosikal telah terlibat dalam aktiviti Ride Santai Ukhwah Bentong. Program yang diadakan secara santai ini dimulakan dari Seremban, Negeri Sembilan menuju ke Bentong, Pahang. Walaupun secara santai, para peserta tetap mematuhi dan menunggang dengan cara yang selamat sejajar dengan tujuan program ini diadakan iaitu untuk mempromosikan kelab yang telah didaftarkan dengan ROS.
Diketuai oleh Pengerusi Ahli Majlis Tertinggi bagi memastikan program ini berjalan lancar, para peserta berkumpul terlebih dahulu di Nasi Kandar Pelita untuk bersarapan sebelum mula bergerak menuju ke Bentong. Setelah tiba di Bentong, para peserta mengambil peluang ini untuk berhenti makan dan menikmati juadah yang ada di Lemang To’Ki yang merupakan satu destinasi popular untuk rider.
Para peserta juga mengambil peluang ini bersolat jemaah bersama di Masjid Besar Bentong dan setelah selesai, perjalanan diteruskan ke Genting Highlands. Sebaik tiba, para peserta berkesempatan mengambil gambar sebagai kenangan. Selepas meluangkan masa di sini, para peserta bergerak pulang ke Seremban dan tiba ke destinasi masing-masing dengan selamat.
