Ride Jalinan Mesra Perak Gangstar Bikers & Blank Gamma 2020
Selepas kerajaan memberikan lampu hijau kepada penganjuran aktiviti konvoi motosikal dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), grup-grup motosikal tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini. Tidak ketinggalan, Gangstar Bikers bersama Blank Gamma telah menganjurkan Ride Jalinan Mesra Perak.
Seramai 40 buah motosikal turut serta pada ride kali ini yang diadakan pada 19 Julai lalu yang bermula dari Teluk Intan dan berakhir di Teluk Batik. Kebanyakan para peserta yang terlibat datang dari Kuala Lumpur, Selangor, Utara dan juga negeri Perak. Bukan itu sahaja, program ini turut disertai artis yang pernah terkenal dan menghiburkan persada seni Malaysia satu ketika dahulu iaitu Blank Gamma.
Ride kali ini dianjurkan bertujuan untuk beramah mesra antara ahli-ahli baharu dan yang lama. Perjalanan yang dimulakan dari Kuala Lumpur terus menuju ke Teluk Intan ini disambut ahli-ahli Perak yang sedia menunggu dan seterusnya mengiringi para peserta. Manakala yang dari utara menunggu di Teluk Batik. Para peserta konvoi selamat tiba di Teluk Batik dan makan tengah hari di Route A188 Teluk Batik yang ditaja pemilik warung milik iaitu saudara Mazuki.
Selesai menjamu selera, aturcara diteruskan dengan majlis suai-kenal antara ahli baru dan lama serta sedikit penerangan oleh Uncle Tom, Pengerusi Penasihat Gangstar Bikers tentang aktiviti grup yang lepas dan juga yang akan datang. Selain itu, majlis dimeriahkan lagi dengan sesi jualan cenderahati barangan Gangstar Bikers.
Seterusnya, acara diteruskan dengan konvoi santai mengelilingi sekitar Manjung dan perjalanan melalui jalan-jalan kampung ke Seberang Perak untuk menjamu selera. Kali ini, makanan ditaja oleh Warong Mee Udang Galah Amai 3 Dara Simpang Empat Seberang perak.
Keadaan menjadi semakin meriah dengan persembahan penyanyi Atok dari kumpulan Blank Gamma dengan tiga buah lagu. Acara berakhir selepas majlis penyampaian cenderahati kepada pemilik warung sekali gus mengakhiri Ride Jalinan Mesra. Para peserta bersurai sekitar pukul 6.30 petang dan beransur pulang dengan membawa satu lagi kenangan manis.
Disediakan oleh : Pak Art