KTM 1290 Super Adventure
Sekilas pandang, KTM 1290 Super Adventure ini dilengkapi pelbagai kelengkapan elektronik canggih. Tegap, sasa dan ketinggiannya disesuaikan untuk penunggang negara barat pada asasnya. Ya, penelitian terperinci adalah rutin sebelum melakukan ujian. Spoked rim bersaiz 19 inci pada roda depan dan 17 inci untuk roda belakang, dipadankan dengan tayar berkualiti serta tahan lama, ia merupakan motosikal 2 dalam 1; offroad dan jalan raya.
Menggunakan sistem brek terkenal dunia berjenama Brembo, diadunkan pula dengan sistem bantuan tambahan MSC (Motorcycle Stability Control), MTC (Motorcycle Traction Control) dan sensitif C-ABS (Combined ABS) serta OFF Road Mode yang diselaraskan dengan kerjasama Bosch. KTM 1290 Super Adventure ini didatangkan dengan pakej keselamatan lengkap serta terkini.
Praktikaliti sejauh 50km terpaksa dilakukan ke atas KTM 1290 Super Adventure sebelum ujian secara agresif dimulakan. Rancangan ujian kali ini adalah untuk menunggang sejauh 380km, bermula dari Pekan Kapar, Klang ke kuala Terengganu. Tangki minyak berkapasiti 30 liter (8 gelen) diisi penuh untuk perjalanan jauh dan mencabar. Perjalanan dimulakan di waktu senja, bertemankan langit terbentang luas yang menunjukkan tanda-tanda hujan akan turun pada bila-bila masa. Itulah sebahagian dari perancangannya dalam menguji jentera Eropah yang kecanggihannya ditularkan di negara barat!
Sistem RBW (Ride By Wire), menggantikan pengganti kabel pendikit dan merupakan pendikit yang bertindak balas dengan lancar. Melalui sistem ini, tork begitu mudah serta mengikut kesempurnaan yang sesuai dengan keadaan ketika menunggang. Sistem ini dapat dirasakan ketika mula memasuki selekoh dan memecut apabila keluar dari selekoh di sepanjang lebuh raya Karak yang mempunyai pelbagai selekoh panjang dan pendek.
Satu penambahan canggih yang ajaib dan boleh diberi pujian adalah lampu LED (Cornering Lights). Lampu ini menyala secara automatik apabila mengambil selekoh dan menyala mengikut selekoh yang diambil. Dipasangkan di fairing kiri dan kanan untuk membantu penunggang melalui selekoh khususnya di waktu gelap. Hal ini mengingatkan saya kepada pengalaman ketika menaiki kereta Volkswagen bersama bos Roadstar, yang juga mempunyai sistem lampu LED yang sama dan menyala secara automatik ketika di selekoh atau membelok.
Antara fungsi yang dapat diuji semasa seronok melenggang-lenggok meredah selekoh di sepanjang lebuh raya karak adalah MTC (Motorcycle Traction Control). MTC segera bertindak balas sekiranya putaran roda belakang tidak seimbang dengan keadaan menunggang dalam masa beberapa saat. Sistem ini mengurangkan output enjin dan dirasakan begitu licin pada injap pendikit.
Terdapat 4 tahap slip cengkaman yang berbeza pada roda belakang, Sport, Street, Rain dan Off Road. Pemilihan mod bergantung pada permukaan jalan raya. Bagi penunggang yang berpengalaman, mod Sport akan menjadi pilihan utama di lebuh raya Karak yang menjanjikan kepuasan ketika meredah selekoh, berselang-seli dengan jalan yang memberikan kesempatan untuk melakukan pecutan. Hanya mod Sport dan Street sahaja sempat diuji.
Pemilihan mod Sport menambahkan keyakinan ketika mengambil selekoh dan saya mampu melakukan gaya penunggangan seperti menunggang superbike, walaupun KTM 1290 Super Adventure ini adalah sebuah Touring Bike. Apabila mod Street diaktifkan, penunggangan dirasakan selesa dan relaks kerana dikawal sepenuhnya oleh enjin.
Hujan mencurahi bumi ketika memasuki LPT 1 (Lebuhraya pantai Timur) dan ia bukan penghalang untuk meneruskan perjalanan. Situasi begini amat sesuai untuk menguji kombinasi pelbagai sistem eletronik yang ada pada KTM 1290 Super Adventure. Bagi cengkaman maksima di permukaan jalan yang basah dan air bertakung, mod Rain dan sistem tambahan WP Semi Aktif Penggantungan inovatif diaktifkan. Sistem ini adalah sistem kawalan Steering Damper yang boleh dipilih menerusi 4 spektrum, Comfort, Sport, Street dan Off Road.
SCU (Suspension Control Unit) yang ada pada motosikal ini berfungsi untuk menyesuaikan kadar redaman sama ada penunggangan solo atau penunggangan bersama pembonceng. Satu set sensor strok dan pecutan bertugas memberikan maklumat tentang beban ditanggung motosikal. Panduan ini memberi manfaat kepada penunggang untuk mengubahsuai penggantungan bersesuaian dengan berat yang berbeza. KTM 1290 Super Adventure turut dilengkapi pemanas di handle bar (Heater Grip) dan pemanas seat (Seat Heater) untuk penunggang dan pembonceng yang boleh diakfitfkan secara berasingan.
Ekoran hujan yang semakin lebat, saya memperlahankan KTM 1290 Super Adventure ke tahap paling minima dan terpaksa dilakukan untuk mengaktifkan mod bersesuaian. Penukaran setiap mod diaktifkan apabila pendikit dilepaskan. Tunggangan diaktifkan pada mod Rain (hujan), mod WP (Steering Damper) diaktifkan pada Sport, Mod S-A-S (Semi Active Suspension diaktifkan kepada penunggang dan pembonceng dengan kotak pannier). Gabungan 3 mod menambahkan kestabilan dan keyakinan ketika menunggang dalam hujan lebat.
Bagi mengelak tangan kebas dalam kesejukan, pemanas grip tangan (Grip heater) diaktifkan. Pemanas pada pelana penunggang (Rider Heater) juga diaktifkan bagi menambah keselesaan ketika menunggang. Pecutan 160km/j dilakukan untuk menguji sistem yang diaktifkan berfungsi seperti yang pernah ditularkan pengeluar motosikal KTM. Hebat dan menakjubkan, sudah cukup menggambarkan perjalanan sepanjang 90km meredah hujan. Setelah menunggang sejauh 283km, perhentian RnR Gambang menjadi lokasi sesuai untuk relaks dan menambah petrol (jika perlu).
Mengejutkan, tapi hanya RM18 isian petrol bagi memenuhi tangki yang mampu menampung sebanyak 30 liter. Kadar pengunaan minyak layak mendapat pujian setelah tamat perjalanan. Perjalanan diteruskan ke LPT 2 dan menjangka cuaca tetap sama. Mujur, tiada setitis air hujan dan permukaan jalan juga kering di LPT 2. Penukaran mod harus dilakukan berdasarkan permukaan jalan dan tunggangan diaktifkan pada mod Street, mod WP(Steering Damper) diaktifkan pada Comfort dan Mod S-A-S (Semi Active Suspension) diaktifkan pada penunggang dengan kotak.
Sementara pemanas di grip tangan dan pelana penunggang tetap diaktifkan. Gabungan 3 mod ini diubah untuk mencuba pecutan yang maksima di samping menguji kadar pengunaan bahanapi KTM 1290 Super Adventure. Jarak sepanjang lebih kurang 200km dan trafik lengang sepanjang LPT 2, hanya 1 jam 40 minit masa diperlukan untuk sampai ke Kuala Terengganu.
Berapa banyak minyak dihabiskan jentera dari Austria ini? Cukup atau tidak semasa pecutan sepanjang LPT 2 hingga ke Kuala Terengganu? Percaya atau tidak, tapi kena percaya kerana ianya kenyataan. Bukan sekadar mencukupi, malah masih berbaki dan sukar untuk dipercayai. Menjimatkan. Gaya tunggangan yang mengujakan dan sistem yang melengkapi motor ini mengikut selera penunggang. Sangat dipuji!
KTM 1290 Super Adventure menepati setiap perkara yang ditularkan para peminat 2 roda di Eropah. Varian Adventure yang dihasilkan jurutera pereka KTM bukanlah sesuatu yang baru. Pembaharuan dan peningkatan sistem terkini sentiasa menjadi keutamaan dalam memantapkan motosikal keluarannya. Kepada mereka yang berminat dan bakal memiliki KTM 1290 Super Adventure, praktikal adalah satu kemestian bagi mengenal pasti fungsi dan sistem yang ada pada jentera, demi kelancaran semasa menunggang.
Bagi pendapat saya, kewujudan KTM 1290 Super Adventure memberikan saingan kepada model adventure yang sedia ada kerana ia menjanjikan kepuasan dan keseronokan semasa pecutan.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar edisi 43