Ride 4 Mountain (R4M) memasuki tahun ke 4 semenjak diperkenalkan. Saban tahun jumlah penyertaan semakin meningkat. Apakah keistimewaan Ride 4 Mountain?
All Brothers Bikers ringkasnya ABB, satu grup motosikal yang cukup dikenali di Klang. Grup yang diselenggarakan oleh “Otai-Otai” permotoran. Bermula 2016 gabungan idea dari Presiden ABB Shamsudin Sharif dan Ramli Badron Timbalan Presiden maka tercetus idea untuk mengadakan Ride 4 Mountain.
Kedengaran agak pelik tetapi hakikatnya ia merupakan satu ride yang lain dari yang pernah didengari sebelum ini. Diawal perancangan pelbagai tanggapan negatif diterima oleh kedua otai ABB ini. R4M yang pertama majoriti peserta hanya dikalangan ahli ABB sahaja dan berjaya menyelesaikan misi seperti yang direncanakan.
Satu hari bermotosikal dan mendaki 4 gunung bermula dari awal pagi? Mungkin terdetik di minda mereka yang tidak pernah menyertai mana-mana ride, merasakan program ini menyusahkan, tiada tujuan serta membahayakan. Namun, program ini mempunyai beberapa misi tersendiri.
Antaranya mendaki 4 gunung dalam masa 1 hari di mana jarak dan ketinggian 4 gunung tersebut agak jauh serta berbeza. Selain itu, ia memberi peluang peserta merasai cabaran serta mendisiplinkan diri terutama di saat mendaki gunung. Manakala destinasi yang dituju pula ialah Genting Highland, Bukit Tinggi, Cameron Highland dan Bukit Fraser.
Pada tahun 2020 ini, Ride 4 Mountain semakin mendapat tempat di kalangan bikers. Buktinya dengan penyertaan seramai 120 buah motosikal. Jumlah penyertaan paling ramai semenjak R4M diperkenalkan. JPAM, Klang merupakan agensi yang terlibat dalam R4M 2020. Penyumbang yang turut menjayakan acara kali ini ialah D’Serai Cathering dan Waza Moto Sport. Boleh dikatakan peserta R4M 2020 terdiri dari pemilik motosikal berkuasa tinggi dari seluruh Semenanjung Malaysia.
Menurut Timbalan Presiden ABB, Ramli Badron, selain acara tahunan R4M, ABB juga ada visi untuk bikers dalam bentuk ‘Siap Siaga” sebelum menunggang secara solo atau berkonvoi. Visi ABB ialah mengadakan kursus pengendalian motosikal berkuasa tinggi (Advance Training), menjalinkan hubungan baik dengan pengamal media yang selama ini banyak membantu ABB dan mengadakan konvoi baik didalam kumpulan kecil atau besar sekerap mungkin. Ini bertujuan mendidik bikers memahami apa itu Konsep Berkonvoi.
Keunikan konvoi R4M terserlah. Jawapan yang positif dari peserta yang ditemubual, ada yang mengakui pengalaman menyertai R4M bukan mudah untuk dilupakan. Bagi mereka beriadah dan berkonvoi ke sesuatu lokasi itu adalah lumrah. Namun berkonvoi sambil mendaki serta turun dari kemuncak yang tinggi tanpa diberikan peluang memotong itu merupakan satu cabaran.
Majoriti peserta berpuashati dengan cara pengendalian Ketua Konvoi dan tim ABB. Tiada kompromi semasa berkonvoi, para peserta ditekankan dengan displin dan patuhi arahan yang ditetapkan. Ride 4 Mountain bukanlah satu penyeksaan kepada mereka yang berhajat menyertainya. Keseronokan timbul bila setiap arahan dipatuhi. Kenangan tidak mudah dilupakan apabila misi tercapai dengan jayanya. Jalinan persahabatan terserlah disamping berkongsi minat dan pengalaman.
Syabas dan tahniah buat ABB d atas kejayaan menjayakan program Ride 4 Mountain.
Disediakan oleh : Janggo