Jika anda peminat skuter bersesaran kecil, samada untuk kegunaan ke tempat kerja atau suka-suka, sudah tentu kenal dengan Suzuki Let’s ini. Diam tak diam, skuter kecil ini mempunyai peminat dan pengikut tersendiri khususnya di pasaran Asia kerana ciri-cirinya yang sangat mudah dan murah. Diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 2014, Let’s dibina oleh Suzuki di India dan berjaya memasuki pasaran beberapa negara di Asia.
Selain strukturnya yang comel, Let’s juga dilengkapi dengan beberapa ciri teknologi dari pengeluar motosikal Jepun. Sebagai permulaan, ia dikuasakan oleh enjin 4-lejang, bersesaran 49cc yang disuntik dengan teknologi Suzuki Eco Performance (SEP). Antara perkara yang istimewa, Let’s mempunyai enjin skuter yang paling efisen di pasaran.
Ekoran kejayaan Let’s, Suzuki melancarkan versi terbaharu skuter kecil ini dalam bentuk Let’s Basket. Sebagaimana namanya, model ini didatangkan dengan raga di bahagian hadapan yang menjadikan ia sangat sesuai untuk kegunaan di bandar. Sebagai contoh, pergi ke pasar di hujung minggu atau meronda-ronda di kawasan kejiranan sambil menghantar barang. Apa yang lebih menarik, ia turut dilengkapi dengan penutup.
Selain penambahan raga besar yang mampu menyimpan sebanyak 25 liter dalam kargonya, Let’s Basket turut didatangkan dengan tempat simpan barang di bawah tempat duduk yang juga sebahagian ciri-ciri standard Let’s. Melihatkan versi yang kecil ini, output maksimanya sekitar 3.7hp – lebih dari mencukupi untuk membawa pemiliknya meronda-ronda dengan santai. Dengan tangki minyak yang mampu menampung 4.8 liter, anda ada beberapa hari sebelum membuat pengisian semula.
Di Jepun, Let’s Basket telah dilancarkan dengan harga 185,900 Yen iaitu sekitar $1,424 USD (RM6,251.40) yang ditawarkan dalam dua pilihan warna; Glass Midnight Brown and Solid Special White No. 2.
Sumber : Rideapart / Autoby.JP