Dataran Jeti Semeling yang terletak di Sungai Petani menjadi tumpuan para pencinta dua roda dengan berlangsungnya program Rachun Dhonia Gathering 3.0 yang diadakan pada 16 September yang lalu. Penganjuran program seumpama ini sentiasa dinanti-nantikan dan ini dapat dilihat menerusi sambutan yang cukup memberangsangkan bukan sahaja dari para pencinta dunia permotoran, malah turut dimeriahkan lagi oleh kunjungan penduduk setempat.
Dianjurkan oleh Encik Mohd Khairol Anuar Bin Hussain dengan kerjasama PPDKP dan Kelab Belia Progresif Merbok yang turut dijayakan barisan Ajk yang terdiri dari Dantora, Zulkhiri, Daniel Aab, Wira Motor, Amet Northern, Lan Sekam, Arip TNB dan Apit Mata. Program ini dimulakan seawal 10 pagi dan berakhir sekitar pukul 4.00 petang. Namun, ramai para peserta dan pengunjung sudah mula membanjiri tapak program lebih awal dari itu khususnya para peniaga yang mengambil kesempatan ini mendirikan gerai perniagaan masing-masing.
Majlis perasmian dan penutup telah disempurnakan oleh YB Puan Nor Azrina Binti Surip (Ahli Perlimen Merbok). Selain aktiviti perhimpunan motosikal lama sebagai acara utama, program ini turut diserikan lagi dengan pelbagai aktiviti menarik. Antaranya termasuk aktiviti sukaneka yang disertai kanak-kanak kurang upaya kawasan Sg. Petani, Family Day PPDKSP, pameran dan jualan dan kibarkan jalur gemilang.
Dianggarkan hampir 1000 buah motosikal telah menyemarakkan lagi penganjuran program Rachun Dhonia Gathering 3.0 ini. Setinggi-tinggi ucapan tahniah diucapkan kepada para penganjur serta barisan penaja yang berjaya menganjurkan program ini. Barisan penaja yang sudi menaja program ini terdiri dari Koyoko, Mim Empayar, Awan Bundle, Nasi Lemak Cinta Sayang. Program berakhir dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan motosikal dan cabutan bertuah.