Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) meneruskan pengukuhan rangkaian pasaran motosikal berkuasa tinggi tempatan menerusi pembukaan cawangan Yamaha Blu Universe yang pertama di Malaysia. Terletak di Kawasan Perusahaan Seri Kembangan, Selangor, pusat sehenti yang mula beroperasi secara rasmi pada September lalu ini merangkumi tiga lot kedai bagi menawarkan perkhidmatan serta pengalaman pemilikan yang lebih eksklusif buat penggemar jentera Big Bike Yamaha.

Pembukaan cawangan sulung ini turut disemarakkan dengan penganjuran acara Yamaha Big Bike Test Ride yang memberi peluang kepada bakal pembeli dan penggemar tegar dua roda menguji keupayaan rangkaian jentera popular jenama itu secara terus. Antara model yang disediakan untuk sesi tunggang uji termasuklah jentera sport-touring Tracer 9 GT, MT-09, skuter saiz besar XMAX 300 dan XMAX 250, serta YZF-R25.
Sesi ujian ini memberi peluang kepada pelanggan merasai sendiri karakter, kestabilan casis serta tahap keselesaan setiap model mengikut kategori tunggangan masing-masing. Langkah ini sekali gus memberi ruang kepada bakal pemilik untuk membuat penilaian tepat sebelum memilih jentera yang benar-benar memenuhi gaya hidup dan keperluan harian mereka.
Bersempena dengan majlis perasmian berkenaan, satu penyerahan kunci khas turut diadakan bagi meraikan 15 pemilik terawal skuter kembara urban, Yamaha XMAX 300. Acara ringkas namun bermakna itu menjadi penanda aras permulaan khidmat pelanggan yang lebih personal di bawah bumbung konsep baharu Blu Universe.

Menerusi pengenalan pusat perkhidmatan bersepadu ini, Yamaha Blu Universe Serdang bersedia menjadi hab tumpuan baharu komuniti penunggang Big Bike sekitar Lembah Klang. Pelaburan rangkaian ini mencerminkan komitmen berterusan Yamaha dalam memantapkan kualiti jualan dan khidmat lepas jualan khas untuk segmen motosikal berkuasa tinggi di pasaran Malaysia.
Sumber : Yamaha Blu Universe


















