MForce Bike Holdings semalam mengadakan pratonton tiga model motosikal dalam segmen sportbike kelas pertengahan kepada pengamal media permotoran bagi mendapatkan maklum balas sebelum membuat keputusan yang sewajarnya dalam masa terdekat.
Tiga model yang dipamerkan adalah QJMotor 250 RS dan 250 RR, serta WMoto Voge 250RR, dengan ketiga-tiga model ini memiliki hamburan kuasa enjin 250cc namun dibezakan dari segi warna dan reka bentuk serta spesifikasi antara satu sama lain. WMoto Voge 250 RR dengan warna biru dan hijau hadir dengan kuasa enjin SOHC 249 cc dari Loncin yang berfungsi di China. Jenter aitu menggunakan enjin dengan transmisi enam kelajuan, dan output kuasa didakwa 27 hp dengan tork 23 Nm.
Antara ciri menarik jentera WMoto Voge 250RR itu, ia dilengkapi dengan paparan instrumen TFT-LCD berwarna penuh, menunjukkan semua maklumat yang diperlukan dan termasuk sambungan Bluetooth ke telefon pintar penunggang. Sementara QJMotor 250RS agak menarik bagi penulis selain warna kelabu yang agak ranggi, merupakan jentera dengan enjin satu silinder 239 cc dengan kotak gear enam kelajuan. Berbekalkan sistem DOHC, jentera ini berupaya menghamburkan kuasa 27 Hp dan 22.5 Nm tork.
Menarik mengenai ciri motosikal QJMotor 250RS ini, ia dibekalkan dengan paparan panel LCD monokrom berfungsi sebagai paparan instrument. Kedua-dua brek hadapan dan belakang dilengkapi dengan sistem cakera hidraulik tunggal berserta sistem pemberhentian ABS.
Berbeza dengan kembarnya QJMotor 250RR, penampilannya agak garang dengan salutan warna hitam yang dilihat sedikit garang dan mempunyai sedikit persamaan dengan model sediada iaitu QJ400GS-G. Ia juga dibekalkan dengan tangki minyak 14liter dan berat sekitar 187kg melebihi dua model terdahulu.
Dari segi harga, ia masih belum diputuskan. Seperti mana yang diperkatakan sejak awal oleh Pengurus Operasi MForce Bike Holdings, Asri Ahmad kepada rakan media, pandangan serta pendapat pengamal media dapat membantu MForce merencanakan apa yang terbaik bagi untuk menentukan harga kompetitif dan penerimaan pasaran motosikal tersebut.
Selain kesimpulan dan pendapat penulis, RoadStar juga ingin maklum balas dari pembaca sekalian? Model superbike jenis satu silinder atau berkembar. Adakah warnanya kurang menyerlah? Apakah harga yang sesuai bagi ketiga-tiga model terbabit?