Pelumba MotoGP Itali, Andrea Iannone digantung selama empat tahun kerana kesalahan anti doping, selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menambah tempoh hukuman selama 18 bulan sebelum ini susulan rayuan yang dikemukakan.
Iannone, 31, digantung pada Mac lalu selepas diuji positif ‘anabolic steroid’ pada contoh air kencing yang diambil ketika perlumbaan MotoGP Malaysia di Sepang pada November tahun lalu. Susulan keputusan berkenaan, pelumba pasukan Aprilia itu dibatalkan penyertaan pada dua perlumbaan terakhir pada musim lalu iaitu Grand Prix Malaysia dan Valencia yang gagal ditamatkannya.
Dalam penghakimannya, CAS berkata hukuman penggantungan ke atas pelumba Itali itu berkuatkuasa sejak 17 Disember 2019. Iannone bagaimanapun memberi alasan dengan menyatakan kandungan bahan terlarang itu masuk ke dalam badannya disebabkan memakan daging tercemar di Malaysia.
Bagaimanapun CAS menolak hujah beliau itu dan menerima rayuan hukuman selama empat tahun yang diminta WADA.
– AFP