SETIU BIKE MIX 2.0 telah berjaya berlangsung pada 31 Oktober hingga 1 November 2025 bertempat di Laman Sri Rhu 10, Pantai Penarik, Setiu. Program ini dianjurkan bersama oleh Setiu All Bikers Club (SABC) dengan objektif utama untuk mempromosikan daerah Setiu sebagai destinasi riadah dan pelancongan melalui aktiviti permotoran dua roda yang bersifat santai dan terbuka kepada semua.

Penganjuran acara ini turut mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi dan badan berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pejabat Daerah Setiu, Majlis Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta SSOhor Setiu. Sokongan padu ini mencerminkan kepercayaan terhadap penganjuran program yang teratur dan memberi manfaat kepada komuniti setempat.
SETIU BIKE MIX 2.0 turut disokong oleh beberapa penaja antaranya Setiu All Bikers Club (SABC), Ombak Pantai, King Trizal, MCTS dan K Seng Motor. Program ini dimeriahkan dengan kehadiran tetamu kehormat, YAM Tengku Temenggung Raja Terengganu, sekali gus menaikkan lagi nilai dan signifikan acara kepada masyarakat setempat serta para peserta.

Anggaran kehadiran mencecah sekitar 10,000 orang, melibatkan pelbagai jenis motosikal tanpa mengira kapasiti enjin atau kategori. Antara kelab dan kumpulan permotoran yang hadir termasuk Rose Riders, Gabungan Kelantan Bikers, Johor Bikers, Rembat Bikers, Ladies Maran Bikers, Silver Riders Club serta banyak lagi. Program ini menjadi platform riadah dan sesi suaikenal, mengeratkan hubungan sesama penunggang dari pelbagai latar belakang.
Antara tarikan utama SETIU BIKE MIX 2.0 ialah usaha memperkenalkan budaya tempatan Setiu kepada para peserta. Menurut pihak penganjur, program ini menghimpunkan semua kapasiti enjin tanpa mengira besar atau kecil bagi mencipta satu sejarah, berpegang kepada tema “dua roda, satu pantai, seribu cerita”. Beberapa kejadian menarik turut mencuri perhatian seperti pertandingan melukis khas untuk para bikers serta aktiviti zumba yang diserikan oleh Presiden Rose Riders, Bro ZASS, yang mencetuskan suasana ceria dan menghiburkan.

Sebagai penutup, pihak penganjur berharap agar SETIU BIKE MIX dapat diteruskan pada masa hadapan dengan sasaran menghimpunkan lebih ramai peminat permotoran dari seluruh negara. Program ini bukan sahaja menjadi medan pertemuan komuniti dua roda, malah berpotensi besar sebagai platform promosi Setiu melalui pendekatan santai, mesra dan berteraskan kebersamaan.





































