Seperti tahun-tahun lalu, Haji Sumon menganjurkan Phuket Bike Week untuk kali ke-25 dan diadakan seiring dengan perayaan tahunan Thailand iaitu Songkran, perayaan tahun baru bagi penduduk Thailand. Phuket Bike Week 2019 (PBW2019) ini diadakan dari 12 April sehingga 14 April, diusahakan oleh Hj Sumon bersama ahli jawatankuasa PBW2019. Seawal 11 April, rider dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura mula memasuki Thailand untuk mengelak kesesakan di pintu masuk sempadan. PBW2019 ini menyaksikan pertambahan rider dari Malaysia berbanding tahun-tahun sebelumnya. Tidak ketinggalan, Datin Sri’ Hajah Elly Zalilah yang menunggang Cam-Am Spyder bersama rakan-rakan yang juga menunggang Can-Am Spyder memasuki Thailand menuju Phuket Bike Week. Pada malam pertama, mereka bermalam di Hatyai. Keesokan harinya, beliau dan rakan-rakan menunggang ke Patong Beach, Phuket.
Tahun ini, wakil-wakil media tidak terkejut apabila melihat beberapa rakan bikers menunggang seiringan bersama penunggang motosikal cc kecil. Ada juga yang menunggang bersama rakan dengan motosikal cc besar dalam satu kumpulan. Namun, kebanyakan rider agak terkejut apabila berselisih serta melihat ramai rider bermotosikal cc kecil seperti Yamaha RXZ, Yamaha 150cc dan Honda RS150 di sepanjang perjalanan menuju Phuket sejak 11 sehingga 13 April. Kumpulan biker yang paling ramai berkonvoi dari Kuala Lumpur menuju ke Phuket adalah kumpulan MRR2 Bikers Community yang terdiri sebanyak 80 buah motosikal Yamaha Y150cc. Dianggarkan lebih kurang 3000 orang biker dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Arab Saudi telah menghadiri PBW 2019.
Sempena PBW kali ke-25 ini, WMGS MG (WINGS Motor Gang Society) telah memilih 12 April untuk berkumpul dengan rakan-rakan biker WMGS MG dari seluruh Malaysia di Patong Beach, Phuket. Selain itu, satu majlis tandatangan persefahaman antara WMGS MG dengan Highway of God Thailand yang diwakili oleh Datuk Awie dan En. Arlee Srisaad (Presiden HOG Thailand) untuk menandatangani persetujuan mengembangkan sayap WINGS untuk ahli WMGSA (WINGS Motor Gang Society Asean). En Rons Aly yang telah menetap dan berniaga di Bangkok menjadi perantara dan jurubahasa di antara Datuk Awie dan En. Arlee Srisaad semasa majlis tandatangan berlangsung. Dengan termeterainya persefahaman ini, maka bertambah lagi satu sayap WINGS dan WMGS Asia ke negara jiran di Thailand. Sekitar jam 8.00 malam, PBW2019 dirasmikan oleh Gabenor Phuket dan rider diraikan dengan jamuan makan malam serta persembahan hiburan oleh penyanyi tempatan.
Pada 13 April, hari kemuncak Songkran disambut seluruh rakyat Thailand. Ada yang meraikan perayaan dengan bersembahyang, selebihnya pula mencurahkan air kepada sesiapa yang lalu-lalang. Kesempatan ini digunakan rider dari luar Thailand untuk meraikan sambutan Songkran selain menyertai PBW. Beberapa kumpulan bikers dari Malaysia mengambil peluang ini mempromosikan acara permotoran yang akan diadakan di Malaysia. Antaranya seperti 1st Desaru International Bike Week 2019 yang bakal diadakan pada September ini. Selepas selesai solat isyak berjemaah, biker mula berkumpul di Dataran Patong dan sambil menunggu acara kemuncak, satu jualan lelong amal dilancarkan. Sebuah tangki minyak motosikal custom telah dilelong. Dana untuk lelongan amal ini sebanyak 30,000 baht yang didermakan oleh Mr.Mike dari Melaka. Seterusnya, acara kemuncak yang dinanti-nantikan biker iaitu persembahan Datuk Awie dan kumpulan Wing, kumpulan Rock terkenal dari Malaysia. Bagi makluman, Datuk Awie bersama rakan biker Wing menunggang motosikal dari Kuala Lumpur pada 11 April.
Pada keesokan harinya, ada di antara biker mula keluar dari daerah Phuket selepas subuh menuju ke arah selatan Thailand. Ada juga rider singgah di Hatyai dan bermalam di sini. Ada juga yang bergerak pulang terus ke Malaysia. Lebih kurang jam 9.00 pagi waktu tempatan, biker mula berkumpul di Harley Davidson of Thailand, Phuket untuk ride amal. Lebih kurang 100 lebih motosikal termasuk rider dari Malaysia menunggang ke Khao Lak untuk pelancaran memasukan sebuah motosikal Harley ke dasar muzium laut yang dirasmikan Dato Bandar Khao Lak. Selesai perasmian, para biker dihidangkan jamuan makan tengah hari sebelum balik ke daerah masing-masing. Biker Malaysia bergerak menuju ke Hatyai dan Dannok sebelum keluar dari Thailand. Ada di kalanagan bikers bergerak keluar dari daerah Phuket selewat hari Isnin iaitu 15 April untuk mengelak kesesakan di pintu sempadan keluar masuk Thailand/Malaysia. Pihak penganjur PBW, Hj Sumon mengucapkan ribuan terima kasih kepada bikers yang hadir. Menurutnya, semoga berjumpa lagi di PBW2020. Insya-Allah. – ~kNor~