Soalan samada pelumba MotoGP Valentino Rossi akan meneruskan kariernya pada tahun hadapan sudah diperdebatkan untuk sekian lama tetapi keterangan daripada pengetua Petronas Sepang Racing Team (PSRT) seperti menambahkan lagi kepastian halatuju pasukan serta pelumba lagenda itu.
Menurut akhbar Kosmo!, pengetua pasukan iaitu Dato’ Ahmad Razlan Razali dilaporkan berkata bahawa mereka tidak mahu tunggu terlalu lama untuk Rossi mempastikan samada dia hendak menyambung kariernya untuk berlumba pada tahun hadapan. Mereka juga telah memutuskan agar tidak menyambung kontraknya setelah bermesyuarat dengan pihak pengurusan.
Dengan itu, pasukan PSRT akan berbalik kepada misi asal mereka dalam mencungkil dan memupuk bakat-bakat baharu. Usaha itu sudah menampakkan hasil dengan kejayaan Fabio Quartararo.
Akan tetapi, Dato’ Razlan berkata bahawa terdapat salah faham mengenai keterangan beliau ketika MotoGP berlangsung di pusingan Jerman yang baharu lepas. Sebaliknya, beliau berkata kepada Moto.it, “Kami belum ada kata putus untuk penunggang-penunggang pada tahun hadapan. Kami akan mencari bakat baharu jika kami tidak teruskan bersama Rossi.”
Rossi pernah berkata yang beliau akan membuat keputusan ketika kejohanan MotoGP ini bercuti untuk musim panas. Beliau berada di dalam kancah kejuaraan yang paling buruk untuk rekod peribadinya dengan memungut hanya 17 mata daripada 8 perlumbaan dan menduduki tangga 19 keseluruhannya.
Pelumba itu mungkin akan berkecimpung secara sepenuh masa di dalam perlumbaan kereta selepas ini memandangkan pengalamannya berlumba di dalam perlumbaan rali serta lasak GT3.
Sumber : MotoGP / JPNN.com / Motorcyclesports.com