Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra yang terletak di Kangar, Negeri Perlis menjadi tumpuan para pencinta dunia dua roda dengan berlangsungnya Perlis Motorday pada 14 Disember yang lalu. Diadakan buat kali kedua, acara ini dianjurkan oleh Persatuan Muafakat Harapan Perlis dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan dan juga Youth Power Club Perlis.
Walaupun acara dimulakan pada pukul 10.00 pagi, tapak acara telah mula dipenuhi para pengunjung serta bikers seawal pukul 9.00 pagi dan berlanjutan sehingga lewat malam sekitar pukul 11.00 malam. Antara acara yang telah disediakan pihak penganjur termasuk Pertandingan Drag Race.
Setelah 15 tahun, akhirnya penantian rakyat Perlis khususnya peminat sukan drag ini dimakbulkan. Pertandingan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan sekali gus merancakkan lagi penganjuran Perlis Motorday. Selain itu, pelbagai acara sampingan turut diadakan seperti pertandingan mewarna kanak-kanak dan pertandingan Beyblade.
Tidak ketinggalan, pertandingan Autoshow Motosikal turut diadakan yang menawarkan sebanyak 26 kategori terbuka dan 14 kategori lain yang dipertandingkan. Dianggarkan seramai 10,000 orang pengunjung telah hadir. Manakala di sebelah malamnya pula, acara dimeriahkan dengan kehadiran Shuib Sepahtu yang mengacarakan segmen Cabutan Bertuah serta majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh YB Amin Ahmad, Ahli Parlimen Kangar.
Disediakan oleh : Pak Art