Bertempat di Sin Sum Sun Motor, Georgetown telah berlangsungnya sidang media anjuran MotoBuruk Garage (MBG) bagi memaklumkan persiapan menjelang program MBG Vespa Lambretta Jamboree 2024. Bakal diadakan dari 6 hingga 8 September, program ini dijangka lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Diadakan dengan kerjasama daripada Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia (MOTAC), Kementerian Belia dan Sukan, serta Vespa Penang. Tambahan pula, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, YB Jagdeep Deo A/L Karpal Singh, turut memberikan sokongan penuh dalam merealisasikan acara ini.
Lokasi penganjuran tahun ini dipindahkan ke Tapak Pesta Sg. Nibong Pulau Pinang untuk menampung jumlah pengunjung yang lebih ramai serta menyediakan kemudahan yang lebih baik. Keputusan ini diambil sebagai usaha untuk menarik lebih banyak peminat permotoran dari dalam dan luar negara, termasuk dari Thailand, Indonesia, Singapura, Itali, Jerman, Brunei, Vietnam, dan Filipina. MBG Vespa Lambretta Jamboree 2024 bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai pusat permotoran tempatan dan antarabangsa, sambil meningkatkan sektor pelancongan negeri ini.
Pelbagai aktiviti menarik telah dirancang sepanjang tiga hari program berlangsung, termasuk Horse Power Motosikal Klasik, pertandingan motosikal antara workshop, persembahan muzik, pertandingan pakaian vintaj, dan banyak lagi. Di samping itu, anugerah khas akan diberikan kepada kelab-kelab permotoran yang hadir. Sementara pengunjung berpeluang memenangi cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa Vespa klasik. Program ini diharap dapat memberi peluang kepada penggemar permotoran untuk berinteraksi dan berkongsi minat bersama-sama.
MBG Vespa Lambretta Jamboree 2024 juga menampilkan pelbagai vendor yang menjual makanan viral dan barangan vintaj, menjadikannya destinasi menarik untuk pengunjung yang ingin menikmati pengalaman yang lebih luas. Kumpulan muzik tempatan seperti Budak Nakal Hujung Simpang dan OAG turut diundang untuk memeriahkan acara ini, memberikan hiburan kepada pengunjung sepanjang program berlangsung.
Dengan sasaran kehadiran sebanyak 12,000 kenderaan klasik dan 10,000 pengunjung, MBG Vespa Lambretta Jamboree 2024 diharapkan menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh peminat permotoran dari dalam dan luar negara. Penganjuran kali ini bukan sahaja menjanjikan keseronokan kepada penggemar motosikal klasik, tetapi juga memberi impak positif kepada ekonomi pelancongan Pulau Pinang, menjadikan acara ini satu platform penting dalam mempromosikan negeri ini di persada antarabangsa.