Berlangsung selama tiga hari berturut-turut dari 2 sehingga 4 Mei, program Santai Raya 2024 ini berjaya menghimpunkan para pencinta dunia permotoran dua roda dari seluruh Malaysia dan berhimpun di Bertam, Pulau Pinang. Dianjurkan oleh Santai Anak Utara (SAU), program ini merupakan penganjuran kali keenam yang diadakan.
Bagi merancakkan lagi perjalanan Santai Raya 2024 ini, pihak SAU turut bekerjasama dengan Pejabat Tan Sri Dzulkifli Ahmad TSDZ Bikers Club, Tunas Indah Niaga Enterprise dan juga Karnival Cinta Rasul. Bertempat di sebelah Lotus Bertam, program dimulakan pada hari pertama iaitu Khamis sekitar pukul 2.00 petang dengan aturcara Santai Raya Berrmunajat.
Pada keesokan harinya, aturcara dimulakan dengan Food Festival pada pukul 10.00 pagi sehingga pukul 12.00 tengah malam. Sebagaimana hari seterusnya, pelbagai hidangan makanan yang membuka selera ada sepanjang festival berlangsungnya. Seterusnya, program diteruskan dengan aturcara Rumah Terbuka yang bermula agak lewat iaitu sekitar pukul 6.00 petang bagi memberi laluan kepada solat Jumaat. Aturcara ini juga berlangsung sehingga 7.00 malam.
Acara yang sebenar atau kemuncak program berlangsung pada hari Sabtu bersamaan dengan 4 Mei yang menyaksikan kehadiran para peminat permotoran dua roda yang sudah mula membanjiri tapak acara sejak awal lagi. Seawal pukul 10.00 pagi, para hadirin dan peserta sudah mula membawa masuk motor masing-masing untuk Santai Raya Rider. Program dibuka dengan segmen Cabutan Bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menawan.
Sebanyak 4 hadiah utama telah menjadi rebutan iaitu dua buah motosikal Yamaha R25, sebuah lev elektrik dan sebuah motosikal Yamaha Y15. Bukan itu sahaja, sebanyak 100 hadiah lain turut disediakan oleh para penaja yang terdiri daripada Tobaki, FKR, Koyoko dan IPone. Selain berdebar menunggu keputusan cabutan bertuah, para hadirin dihiburkan dengan telatah dua pengacara yang dijemput khas iaitu Abu dan Ajo.
Dimeriahkan dengan kehadiran tetamu kehormat, mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad seterusnya merasmikan program Santai Raya 2024 ini. Seterusnya, program diteruskan lagi dengan pelbagai aktiviti termasuk Sembang Santai bersama Ikon, Game Contest, Autoshow dan juga gerai-gerai jualan juga Food Festival yang berlarutan sehingga 12.00 tengah malam.
Sebagaimana program anjuran SAU yang lain, Santai Raya 2024 ini juga menjadi satu lagi program yang berjaya menghimpunkan para peminat permotoran dua roda. Semoga akan ada lagi program-program anjuran SAU di masa akan datang dan menarik perhatian para peminat motosikal dua roda dalam kalangan anak-anak muda lebih menonjol. Sehingga itu, tahniah dan semoga berjumpa lagi!








































































































