Model terbaharu LEXIN seperti Zen One, G2 EVO dan MTX Trico menjadikan teknologi Bluetooth sebagai sebahagian daripada perjalanan penunggang motosikal. Ia turut disokong oleh waranti 2 tahun dan jaminan penggantian satu-dengan-satu (1-to-1).
Untuk info, LEXIN Malaysia memperkenalkan tiga peranti interkom Bluetooth terbaharu iaitu LEXIN Zen One, LEXIN G2 EVO dan LEXIN MTX Trico bersempena dengan acara LEXIN Mega Launch X Soon Heng Bikers Gathering yang berlangsung di Laman To’ki, Bentong baru-baru ini.

Barisan produk baharu ini diperkenalkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LEXIN, Jacky Hong; Pengurus Jualan, Mohamad Zam Roji; dan Pengurus Pemasaran, Aizat Shaha, disaksikan oleh media permotoran tempatan, pencipta kandungan, pengedar serta penunggang motosikal dari seluruh Malaysia.
Bagi kebanyakan penunggang motosikal di Malaysia, telefon pintar merupakan ‘komponen’ penting bagi seorang penunggang dalam setiap perjalanan sama ada untuk mendapatkan panduan arah, menerima panggilan daripada pelanggan atau keluarga, mahupun memastikan kumpulan penunggang kekal bersama semasa di jalan raya.


Interkom Bluetooth yang dipasang pada topi keledar membolehkan penunggang menjawab panggilan, mengikuti arah GPS, berkomunikasi dengan ahli kumpulan serta mendengar muzik tanpa perlu menyentuh telefon. Dengan ini, tangan penunggang kekal pada hendal motosikal dan tumpuan mata tetap tertumpu pada jalan raya.
Dengan memperkenalkan barisan model terbaharu ini, LEXIN menyasarkan menjadikan alat komunikasi bluetooth ini sebagai ciri standard dalam setiap perjalanan, bukan sekadar tambahan premium.

Spesifikasi ringkas 3 model LEXIN terbabit;
LEXIN Zen One
Model ini adalah yang termurah dalam senarai model yang diperkenalkan oleh LEXIN. Diberi nama LEXIN Zen One, ia direka untuk penunggang harian, termasuk penghantar barangan yang menghabiskan sebahagian besar masa mereka di jalan raya.
Ia juga dilengkapi dengan teknologi pembatalan hingar DSP dan CVC, pembesar suara 40mm yang kekal jelas walaupun pada kelajuan sehingga 150 km/j, jangka hayat bateri sehingga 25 jam, sokongan untuk Siri dan S-Voice, serta reka bentuk kalis air. Zen One ditawarkan pada Harga Runcit Disyorkan (RRP) RM98.

LEXIN G2 EVO
Menggunakan teknologi Bluetooth 5.4 dengan fungsi audio berbilang (multi-audio) Bluetooth, pembesar suara HD 40mm, sistem pembatalan hingar dan julat interkom sehingga 1,200 meter.
Bateri 1,000mAh miliknya mampu bertahan sehingga 30 jam untuk penggunaan muzik atau panggilan telefon, atau 15 jam untuk muzik berserta interkom. Ia turut dilengkapi dengan pengecasan pantas USB-C dan cangkerang luar yang boleh ditukar ganti. G2 EVO ditawarkan pada RM258 (pek tunggal) dan RM498 (pek berkembar).

LEXIN MTX Trico
Direka khusus untuk tunggangan berkumpulan, menampilkan teknologi Mesh 3.0 dengan 10 saluran, persidangan ‘mesh’ yang menyokong sehingga 24 penunggang, interkom Bluetooth untuk 2 penunggang, serta julat operasi sehingga 2,000 meter.
Ia dilengkapi dengan pembesar suara LEXIN Pulse 43mm, fungsi perkongsian muzik, sistem pembatalan hingar, pengecasan pantas USB-C, dan reka bentuk kalis air. MTX Trico ditawarkan pada RM498.
















