CFMOTO Malaysia memperkenalkan satu lagi model berkuasa tinggi dalam segmen adventure touring iaitu CFMOTO 800MT-X ketika membuat peluncuran secara eksklusif pada majlis perasmian kedai CFMOTO Men Huat Motors yang berlangsung di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.
CFMOTO 800MT-X merupakan jentera adventure yang sentiasa memberikan semangat dan keberanian buat penunggangnya lebih-lebih lagi ketika menempuh perjalanan jauh serta laluan ‘off-road’ yang mencabar. Untuk info, jentera ini dikuasakan oleh enjin 2-silinder sebaris, 4-lejang, DOHC, sistem penyejukan cecair bersesaran 799cc yang mampu menjana kuasa maksimum 70kW pada 8,500rpm dan tork maksimum 87Nm pada 6,750rpm.
Dengan piston dan lejang 88mm x 65.7mm serta nisbah mampatan 12.8:1, enjin ini menggunakan sistem bahan api EFI, sistem pencucuhan T.C.I dan sistem penghidupan lektrik yang mampu memastikan operasi enjin sentiasa konsisten dan cekap.
Sistem pelinciran pula menggunakan teknologi ‘pressure splash lubrication’ digandingkan dengan sistem transmisi 6-kelajuan, klac jenis ‘sliding’ dengan ‘multi-plate’ basah serta sistem pacuan rantai. Untuk memberi kestabilan maksimum, CFMOTO 800MT-X turut dilengkapi dengan suspensi hadapan jenis teleskopik terbalik (upside-down) dan belakang adalah penyerap hentak mono boleh laras.
Ia dipadankan dengan tayar jenama CST dengan saiz 90/90-21 di hadapan dan 150/70-R18 di belakang seterusnya membolehkan kawalan lebih baik di atas pelbagai permukaan jalan. Sistem pemberhentian menggunakan pakai jenama J.Juan pula terdiri daripada cakera berkembar dengan ABS di hadapan dan cakera tunggal dengan ABS boleh tukar (switchable) di belakang, memberi cengkaman mantap dan sistem pemberhentian yang selamat.
Menariknya, terdapat juga sistem Traction Control System (TCS) pada model ini yang boleh diaktif dan dinyahaktif mengikut keperluan penunggang. Sistem Quickshifter juga boleh dihidupkan atau dimatikan dengan mudah yang menjadikan motosikal ini mudah untuk menukar gear lebih pantas tanpa menggunakan klac.
Terdapat juga tiga mod tunggangan yang dibina di dalam CFMOTO 800MT-X iaitu Standard, Rain dan Off-road, sesuai untuk menyesuaikan prestasi enjin mengikut keadaan jalan dan cuaca. Fungsi teknologi turut diperkayakan dengan sistem kawalan ‘cruise’ automatik, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) serta suis keselamatan tongkat sisi (Side Stand Safety Switch) yang mematikan enjin jika gear dimasukkan ketika tongkat belum dinaikkan yang membantu meningkatkan aspek keselamatan.
Panel meter TFT bersaiz 7 inci dengan paparan menegak memberikan informasi penting secara jelas dan mudah diakses. Untuk kemudahan digital, motosikal ini turut menyediakan port pengecasan USB Type-A dan Type-C. Motosikal ini juga menggunakan sistem kunci mekanikal dan throttle jenis elektronik untuk pengalaman menunggang yang klasik tetapi tetap praktikal.
Terdapat pelindung tangan dan pelindung angin boleh laras secara manual memberikan keselesaan tambahan ketika menunggang pada kelajuan tinggi atau dalam cuaca berangin. Lebih menarik, dua unit kotak sisi berkapasiti 35L dan satu kotak atas 45L turut tersedia, menawarkan ruang simpanan mencukupi untuk keperluan pengembaraan jarak jauh.
Dengan kapasiti tangki bahan api 22.5 liter, berat basah 220kg, tinggi tempat duduk 830mm, jarak antara roda 1,530mm dan dimensi keseluruhan 2,288mm (panjang) x 945mm (lebar) x 1,446mm (tinggi), CFMOTO 800MT-X dibina untuk pengembaraan sejati, lengkap dengan ketahanan fizikal dan keselesaan ergonomik.
Keseluruhan reka bentuk dan teknologi CFMOTO 800MT-X menjadikannya pilihan ideal buat penunggang yang mengidamkan motosikal ‘adventure touring’ dengan spesifikasi tinggi, kemampuan lasak dan keselesaan untuk apa jua destinasi.
Ditawarkan pada harga RM48,888.00 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), model ini hadir dengan dua pilihan warna menarik iaitu Zephyr Blue dan Nebula Black. Dengan setiap pembelian CFMOTO 800MT-X, para pembeli boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh CFMOTO Malaysia.