Tiada motosikal yang lengkap tanpa aksesori untuk penunggangan jarak jauh. Bagi mengatasi masalah ini, MV Agusta hadir dengan Turismo Veloce yang dilengkapi pelbagai ciri-ciri terkini. Sekali imbas, motor MV Agusta Turismo Veloce ini memang kelihatan cantik dan sesuai untuk penunggangan jarak jauh. Lengan hayun sisi tunggal, tiga ekzos, kerangka yang terdedah dan juga panel badan yang agresif membuatkan motor ini tampil lebih menarik berbanding motosikal touring lain.
Dikuasakan dengan enjin tiga silinder sebaris 798cc, ia menghasilkan 109hp tetapi mendapat tork sehingga 12% hasil dari trumpet intake yang baharu. Salah satu perkara yang penting adalah kecekapan bahan api. Motor ini mematuhi Euro 5 dan gear pula telah diganti untuk mengurangkan tekanan terhadap enjin.
Disebabkan pematuhan Euro 5, beberapa bahagian lain turut menerima penambahan terkini seperti klac, kotak gear, fork, papan pemapar dan kelengkapan elektronik lain. IMU dan ECU baharu juga telah diintegrasikan ke atas motor ini sekaligus memberikan respons throttle yang lebih lancar.
Sumber : Webbikeworld