Festival Y15, Y16, 135LC kembali dengan edisi kelima yang lebih hebat dan meriah, berlangsung selama dua hari pada 4 dan 5 Oktober 2024 di Midtown PERDA, Kubang Menerong, Pulau Pinang. Hampir 40,000 peminat motosikal dari seluruh negeri hadir bagi memeriahkan acara ini, membuktikan kecintaan mereka terhadap dunia permotoran. Festival ini bukan sekadar perhimpunan motosikal biasa, tetapi sebuah pesta untuk komuniti peminat Y15, Y16, dan 135LC yang menampilkan pelbagai aktiviti menarik dan cabutan bertuah dengan hadiah yang luar biasa.
Antara tarikan utama festival adalah Dyno Battle yang diadakan di reruai Petronas Sprinta, di mana para pemilik motosikal berpeluang menguji kekuatan “horsepower” motosikal mereka. Setiap peserta tampil dengan motosikal yang diubah suai, menampilkan rekaan dan gaya yang unik. Para pengunjung juga terpesona melihat motosikal yang dihias dengan penuh kreativiti, dari modifikasi badan hingga kepada helmet yang serba bergaya. Acara ini menjadi tumpuan utama terutamanya bagi mereka yang ingin mempamerkan hasil kerja modifikasi yang penuh seni.
Festival ini turut menarik minat ramai anak muda, khususnya dari sekitar Kepala Batas. Mereka berbondong-bondong memeriahkan acara yang menawarkan pelbagai aktiviti hiburan dan pameran. Tidak ketinggalan juga, para pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai gerai jualan yang disediakan, memberikan peluang kepada para usahawan tempatan untuk berniaga dan mempromosikan produk mereka. Kehadiran reruai jenama terkenal seperti Uma Racing dan RCB turut memberi tarikan besar kepada peminat dunia permotoran.
Apa yang lebih menarik, festival ini turut menawarkan cabutan bertuah yang mengagumkan dengan hadiah utama berupa sebuah kereta BMW 320i F30 Red yang ditaja oleh Espada dan Magic Boy, serta sebuah Ducati Hypermotard 796 tajaan Petronas Sprinta, Uma Racing, dan RCB. Hadiah-hadiah ini amat dinanti-nantikan setiap pengunjung, menjadikan suasana festival lebih meriah dan penuh debaran.
Tahniah kepada penganjur utama festival, anak muda berbakat Ikhwan Rusli, Hafiz Anuar, Effendy Zainon dan Ku Nazrey, yang berjaya menghidupkan acara ini dengan semangat dan kreativiti mereka. Majlis perasmian turut diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu kehormat termasuk Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, ADUN Bertam, dan Encik M. Zameer Zahur Hussain, CEO Petronas Lubricants Marketing Malaysia. Festival Y15, Y16, 135LC 5.0 ini pastinya akan dikenang sebagai acara permotoran paling epik tahun ini.