Setiap kali bercakap tentang superbike Ducati, nama pertama yang muncul pastinya Panigale dan ia langsung tidak mengejutkan. Panigale boleh dikatakan sebagai motor ikon untuk segmen ini dengan rekaan paling seksi serta elegan dalam sejarah. Kini, ia diperkukuhkan lagi dengan model terbaharu Panigale V4 sekali gus menenggelamkan beberapa model keluaran Ducati lain termasuk SuperSport 950.
Berbanding Panigale, SuperSport ditawarkan pada harga mampu milik dengan harga permulaan $13,095 (RM53,568.97) untuk tahun 2020. Namun bagi tahun 2021, motor ini dikatakan telah menerima beberapa kemaskini termasuk teknologi terbaharu serta penampilan facelift yang diinspirasikan dari Panigale.
Pada 18 November lalu, Ducati telah menyiarkan episod ketiga World Premiere yang mengumumkan pengenalan kepada Panigale V4 SP terbaharu, basikal elektrik TK-01RR dan versi terkini SuperSport. Model ini didatangkan dengan wajah serba baharu dengan sedikit suntikan DNA Panigale. Bahagian optikal hadapan juga mirip mengikut bentuk yang diperkenalkan ke atas V4, lengkap dengan jalur LED.
Sudut sisi SuperSport ini ditanda dengan ventilasi udara yang mengingatkan kepada pengekstrak berganda yang ada pada Panigale V4. Fairing bawah ditambah ke peredam sisi, melindungi komponen mekanikal. Selebihnya, sportbike entry-level ini kekal tidak berubah dengan menggunakan enjin Testastretta berkembar 937cc, berkongsi dengan Hypermotard dan Multistrada 950. Ia juga mematuhi piawaian Euro 5 tetapi kuasanya masih sama pada 110 hp dan tork 69 lb-ft. Beratnya juga bertambah dan kini sekitar 180kg.
Penambahan terbaharu yang paling penting adalah sisi teknologi dan elektroniknya. Model 2021 ini dilengkapi Bosch 6-axis untuk mengesan kedudukan motosikal ketika di atas jalanraya serta sistem kawalan ketika mengambil selekoh, kawalan traksi dan juga kawalan wheelie. Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi dengan pengalihan elektronik dan juga tiga mode penunggangan (Sport, Touring, dan Urban) yang boleh dipilih menerusi papan pemapar TFT 4.3-inci.
Sumber : Rideapart.com