Seramai 150 peserta telah menghadiri Majlis Pembukaan Rasmi Kedai Motor Eng Wan Sdn Bhd Cawangan Parit Buntar yang diadakan pada 2 Julai lalu. Majlis yang diadakan penuh gemilang itu dimeriahkan dengan kehadiran kelab-kelab motosikal termasuklah Kelab Permotoran Crew RS150 Perak Official.
Kelab ini diwakili seramai 70 peserta yang diketuai oleh saudara Zam yang dibantu saudara Azizul Hakim, saudara Shafizal dan juga saudara Mustapha Bhaei dalam memastikan konvoi berjalan lancar sehingga tiba ke lokasi majlis berlangsung. Selain itu, majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Kelab Permotoran RS150 Penang, diketuai saudara Sufian dan juga kru RSPG yang hadir seramai 50 orang peserta.
Majlis bermula pukul 11.00 pagi dengan sesi pendaftaran untuk Cabutan Bertuah dan pemberian Cenderahati Koleksi Honda Aksesori disediakan pihak Eng Wan Motor. Seterusnya, acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan dari En. Lim Eng Wan selaku Pengarah Urusan Eng Wan Motor sekali gus merasmikan kedai Honda Impian X Eng Wan Motor cawangan Parit Buntar. Turut hadir ialah jemputan khas Honda Motor Malaysia, Ketua Polis Parit Buntar dan tetamu kehormat.
Para peserta, jemputan dan tetamu telah dihidangkan dengan sesi jamuan tengah hari disediakan pihak penganjur yang menyajikan nasi beriani yang sedap. Sejurus selepas itu, acara diteruskan dengan sesi Cabutan Bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik. Antaranya termasuklah minyak hitam motosikal jenama Honda, helmet KYT, helmet MHR dan hadiah utama iaitu sebuah motosikal Honda Wave Alpha.
Selesai acara penyampaian hadiah kepada para pemenang, acara diteruskan lagi dengan sesi bergambar bersama barisan pengurusan Kedai Eng Wan Motor dan kelab-kelab permotoran yang diundang khas sebelum majlis bersurai sekitar pukul 2.00 petang.
Pihak Kelab Permotoran Crew RS150 Perak Official mengambil kesempatan ini mengucapkan sekalung tahniah kepada pihak Eng Wan Motor di atas perasmian kedai cawangan baru di Parit Buntar. Semoga bertemu lagi di program konvoi yang akan datang. Salam Hormat dari Kelab Crew RS150 Perak Official untuk semua sahabat permotoran dua roda.
Perkongsian:
ZAM CRS PERAK OFFICIAL