Tidak dinafikan, ada sesetengah pemandu yang suka mengambil sikap sambil lewa dan juga pentingkan diri sendiri apabila berada di atas jalan raya. Ada yang langsung tidak memikirkan tentang pengguna jalan raya yang lain seperti pemandu kereta yang lebih kecil, penunggang motosikal dan tidak kurang juga, pejalan kaki. Lebih menyedihkan, ada yang sengaja ‘membuli’ pengguna jalan raya lain sehingga mengakibatkan kemalangan.
Salah satu contoh, kes langgar lari yang berlaku dan telah berjaya dirakam seorang penunggang motosikal lain. Kejadian berlaku ketika sekumpulan penunggang motosikal yang dilihat sedang menikmati penunggangan mereka di lebuh raya dengan kelajuan 142km/j sebelum sebuah Ford F-150 muncul dengan laju dari arah belakang dan menggesel seorang penunggang motosikal. Akibat geselan itu, penunggang motosikal hilang kawalan sebelum terjatuh di bahu jalan. Manakala pemandu Ford tadi memandu laju dan cuba melarikan diri.
Penunggang motosikal yang terjatuh itu bernasib baik dan hanya mengalami kecederaan kecil kerana memakai pakaian yang lengkap untuk menunggang. Pemandu Ford yang langsung tidak berhenti tadi telah dikejar oleh dua orang penunggang motosikal lain. Salah seorang dari mereka telah menghubungi pihak polis dan pemandu tersebut dikatakan tertangkap lebih kurang lima batu dari tempat kejadian.
Sumber : Carscoops