Memasuki awal tahun 2025, MForce Bike Holdings Sdn Bhd – pengedar pelbagai jenama motosikal rancak memperkenalkan beberapa model terbaharu ke pasaran tempatan. Antara yang memikat perhatian sudah tentunya model skuter adventure SYM Husky 300. Selain itu, turut dibawa masuk ke pasaran motosikal tempatan adalah model ala-superbike Keeway RKR250 yang bakal menemui peminat motosikal tanah air pada April tahun ini.
SYM HUSKY 300
Bakal Pencabar Skuter Maxi Lain
Jika sebelum ini, pelbagai genre model skuter hadir ke pasaran tempatan, kini satu lagi model yang dibawa oleh MForce Bike Holdings bakal menjadi tarikan kepada pesaing yang sedia ada dalam segmen skuter maxi.
SYM Husky 300, model skuter premium terbaru yang kini tersedia di pasaran dengan harga permulaan RM23,888, tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Hadir dalam tiga warna elegan iaitu White, Space Grey dan Matte Black, model ini menawarkan gabungan reka bentuk moden, teknologi canggih dan ciri keselamatan terkini yang pasti menarik perhatian peminat motosikal.
Dikuasakan dengan enjin 278.3cc SOHC silinder tunggal 4-lejang berserta sistem penyejukan cecair, Husky 300 menghasilkan kuasa maksimum 19.0kW pada 8,000rpm dan tork 26.0Nm pada 6,000rpm yang memastikan tunggangan lebih lancar dan berprestasi tinggi. Sistem EFI (Electronic Fuel Injection) memberikan pembakaran bahan api yang lebih cekap, manakala transmisi C.V.T (Continuously Variable Transmission) memastikan perjalanan lebih lancar dalam pelbagai keadaan jalan raya.
Dimensi skuter ini mempunyai panjang keseluruhan 2,185mm, lebar 810mm dan tinggi 1,325mm, dengan jarak roda 1,510mm. Berat hanya 179kg, menjadikan Husky 300 mudah dikendalikan untuk perjalanan di bandar mahupun jarak jauh. Dengan kapasiti tangki bahan api 16 liter, ia membolehkan perjalanan lebih lama tanpa perlu kerap mengisi minyak.
Untuk pencahayaan yang maksimum, skuter ini dilengkapi dengan lampu LED penuh, termasuk lampu hadapan Projective LED berbentuk V yang terang, lampu belakang dan lampu posisi hadapan.
Suspensi teleskopik di hadapan dan dual shock di belakang memastikan kestabilan dan keselesaan semasa menunggang, manakala tayar hadapan bersaiz 120/70-15 dan tayar belakang 140/70-14 memberikan cengkaman yang mantap di permukaan jalan raya.
Selain itu, Husky 300 dilengkapi dengan ciri inovatif seperti Traction Control System (TCS) untuk mengelakkan kegelinciran, sistem Anti-Lock Braking System (ABS) dwi-saluran untuk keselamatan tambahan semasa brek kecemasan serta sistem kunci pintar (Smart Key) untuk akses yang lebih mudah. Ciri tambahan seperti port pengecasan USB jenis-C dan jenis-A, poket simpanan hadapan dan ruang simpanan belakang menambahkan lagi nilai praktikaliti model ini.
Reka bentuk aerodinamiknya disempurnakan dengan air intake garnish, penghadang tangan dan handlebar yang lebar turut menjadikan Husky 300 pilihan sempurna untuk penunggang yang mengutamakan gaya dan kefungsiannya. SYM Husky 300 kini boleh didapati di semua pengedar sah SYM di seluruh Malaysia. Setiap pembelian disertakan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km.
Morbidelli T1002VX 2025
Jentera Pengembaraan Ditawarkan Pada Tag Harga Istimewa
Di majlis yang sama, MForce juga memperkenalkan sebuah jentera pengembaraan berkuasa tinggi – Morbidelli T1002VX Edisi 2025. Model yang mampu dinikmati oleh pengemar aktiviti di hujung minggu dengan rekaan dibina dilihat mampu menyaingi pencabar dalam segmen adventure touring. Apa yang menarik, ketika diumumkan harga sebenar model ini ditawarkan pada harga RM53,888 namun bagi 200 pembeli terawal boleh memperolehi tawaran harga istimewa iaitu RM48,888 (harga asas).
Tayar hadapan bersaiz 120/70 R19 dan tayar belakang 170/60 R17, memberikan kestabilan dan cengkaman yang mantap. Dengan dimensi 2,313mm x 931mm x 1,475mm dan ketinggian tempat duduk 820mm, T1002VX sesuai untuk pelbagai jenis penunggang.
Jentera ini ditawarkan dengan enjin 997cc V-Twin dan apa yang dipertontonkan kepada media penampilan Morbidelli T1002VX (2025) mampu memikat pembeli. Kapasiti tangki bahan api juga agak besar sekitar 20-liter pula menjadikannya ideal untuk perjalanan jauh tanpa perlu kerap mengisi minyak.
T1002VX turut dilengkapi dengan butang kecemasan (hazard button) untuk meningkatkan keselamatan semasa kecemasan dan handguard MBP, yang melindungi jari penunggang daripada serpihan jalan dan cuaca buruk. Ia turut dilengkapi fungsi Auto Cruise yang mampu memaksimumkan keselesaan perjalanan dengan mengekalkan kelajuan tetap secara automatik, menjadikan setiap tunggangan jarak jauh lebih santai dan efisien.
Dari segi suspensi, fork depan upside-down boleh laras dan monoshock belakang boleh laras memastikan tunggangan yang lancar dan selesa. Paparan meter TFT turut memaparkan maklumat penting seperti empat mod tunggangan dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) dengan jelas.
Model ini juga menawarkan tiga ruang bagasi iaitu kotak atas (50 liter) dan dua kotak sisi (masing-masing 42liter dan 36liter) yang memberikan ruang simpanan yang mencukupi untuk ekspedisi jarak jauh. Port pengecasan USB Type-A dan Type-C yang akan membolehkan penunggang kekal berhubung menggunakan telefon pintar sepanjang perjalanan.
VOGE CU525
Bagi Pengemar Segmen ‘Kruiser’
Model VOGE CU525 merupakan jentera dalam segmen cruiser (kruiser) agak menarik bukan sahaja pada penampilannya malah tiga warna yang ditonjolkan iaitu Hitam, Biru dan Hijau menarik perhatian kepada penunggang pertengahan usia. Ditawarkan pada tag harga RM29,888, model ini dipadankan dengan enjin bersesaran 494cc (dual cylinder, DOHC, 4-valve, liquid-cooled) dan dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan dan slipper clutch.
Enjin VOGE CU525 menghasilkan kuasa maksimum 53.1hp @ 8,500rpm dengan tork puncak 50.5Nm @ 7,000rpm. Model cruiser ini mempunyao berat sekitar 178kg (net weight) dan dilengkapi dengan tangka petrol 15liter.
Spesifikasi depan adalah dari jenis upside-down, penyerap hentakan belakang boleh laras, sistem brek cakera di bahagian depan dan belakang dengan ABS Dual Channel, Traction Control System (TCS), tempat duduk dengan ketinggian 710mm, panel meter digital berwarna, sistem lampu LED dan tayar depan dan belakang dengan saiz 130/90-R16 dan 150/80-R16.