Royal Enfield telah melancarkan dua model terbarunya iaitu Continental GT650 dan Interceptor 650 untuk tahun 2019 yang sudah pun berada di Malaysia. Kedua-dua model ini dijual pada harga RM48.5k dan RM45.9k (tidak termasuk insurans dan kos pendaftaran) versi standard.
Diinspirasikan daripada model tahun 50-60an, kedua-dua model ini dikuasakan enjin dua silinder penyejukan udara / minyak 648cc SOHC suntikan bahan api dengan gabungan kotak gear enam kelajuan serta mampu menghasilkan kuasa 47hp pada 7,250rpm dan 52Nm tork pada 5,250rpm.
Perbezaan kedua-dua model ini terletak pada bentuknya di mana Continental GT650 merupakan sebuah café racer, manakala Interceptor 650 adalah sebuah cruiser. Selain itu, perbezaan dari segi tangki bahan api; Continental GT650 12.5 liter dan Interceptor 650 13.7 liter diikuti beberapa lagi perbezaan lain.
Pihak Royal Enfield Malaysia menyasarkan jualan kedua-dua model ini sebanyak 100 unit untuk Continental GT650 dan 200 unit untuk Interceptor 650 berdasarkan peningkatan para peminat moto cafe racer yang meminati gaya kasual, reka bentuk moden dan elegan. Mereka juga sangat pintar apabila memilih untuk memberi tumpuan lebih kepada gaya dan bukan hanya kelajuan. Golongan senior juga kelihatan lebih muda menunggangnya.
Para pemilik Royal Enfield boleh berkunjung ke RE Motorcycles Sdn Bhd yang merupakan pusat 3S (Service, Sales dan Spare parts) jenama Royal Enfield yang mempunyai sokongan alat-alat ganti lengkap dan servis selepas jualan.