Motosikal klasik boleh diklasifikasikan sebagai bahan koleksi yang kini sangat digemari di kalangan pengumpul motosikal tempatan. Namun senario ini satu ketika dulu hanya terpakai pada motosikal buatan British yang mendominasi industri motosikal tahun 60-an dan 70-an. Bila Jepun giat menghasilkan produk massa mereka menjelang 70-an, eksklusiviti model-model buatannya tidak jelas. Justeru, tidak hairanlah, ia tidak popular sebagai bahan restorasi menjelang dekad 90-an sebagai bahan klasik yang dikumpul.
Begitupun, senario berubah bila pengumpul tempatan beralih kepada cebisan lama ini dengan konsep restorasi penuh. Pada mulanya, ia hanya dipelopori oleh segelintir yang rapat dengan bengkel motosikal dan menjadikannya bahan koleksi semata-mata, tetapi tak lama kemudian, wabak ini melanda seluruh negara, berkembang dengan sangat pantas.
Bila menyebut Yamaha RD250 kita akan membayangkan filem-filem popular seperti Gila-Gila Remaja dan Azura. Motosikal naked dengan fairing menutup lampu, enjin selinder paralel dan ekzos berkembar di kiri kanan roda belakang dan bunyi bergetar yang ikonik. Sebenarnya itu adalah RD250 moden (ya, moden!)
Ini pula ialah datuk kepada RD250 yang disebutkan tadi. Badannya lebih kurus dan togel berbanding versi 80-an tadi dan inilah model pertama Yamaha yang memakai lencana RD250. Lahir pada tahun 1973 sebagai model pertama untuk pasaran eksport luar Jepun. Enjin 2 selinder 2 lejang ini cukup unik kerana binaan blok pembakarannya yang berkongsi jaket udara. Dilihat dari satu sudut, ia seakan-akan sebuah enjin satu selinder 4 lejang.
Sebaik enjin dihidupkan, ia mengingatkan kita tentang zaman Kuala Lumpur dengan jalan masih berbecak. Kalau nak keluar dari kota, perlu ada bekal minyak 2T dalam beg. Bunyinya bingit walaupun dengan ekzos tanpa sebarang pengubahsuaian dan hasil enjin kecil 250cc ini ialah sebuah motosikal mudah kendali tanpa banyak soal. Masuk tuil gear dan tekan pendikit, ia membawa kemana sahaja tanpa banyak soal.
Nilai sentimental pada jentera ini hanya difahami oleh segelintir individu sahaja. Md Rashid salah seorang daripadanya yang mengakui, ia sebuah motosikal unik yang tidak ada pada jentera moden hari ini. Selari dengan perkembangan restorasi motosikal yang berkembang itulah yang mendorong beliau memiliki RD250 model pertama ini.
Konsep ubahsuai motosikal ini semudah memulihkan semula Datsun lama mengikut spesifikasi kilang. Tanpa banyak soal, enjin yang telah letih berkhidmat sejak 1973 ini diturunkan untuk proses overhaul penuh. Kesemua penebat getah, gasket, gegelung omboh, gegancu enjin dan bahagian bergerak pakai lusuh diganti baru. Tiada masalah langsung kerana banyak peralatan moden yang masih boleh ditukar pakai sesama model klasik ini.
Rangka motosikal telah dikikis hingga menampakkan tulang besi asal. Lapisan anti karat dikenakan bersama selapis undercoat dan diakhiri dengan semburan hitam solid. Bahagian krom dicelup semula menjadikannya kelihatan baru dan beberapa kemasan ideal dikenakan pada penutup enjin, dapra getah untuk mudguard depan, reflektor pada dapra belakang dan garisan pelekat asli pada latarbelakang badan oren.
Melihat motosikal pada keadaan ini pasti kita tidak akan dapat rasa kepayahan untuk menyempurnakannya. Bukan semua orang sanggup menghabiskan masa mencari perkakasan, berulang alik ke kedai spare part, kedai kejuruteraan, bengkel dan belum masuk lagi kerenah enjin yang kadang-kadang memeningkan kepala. Saya sendiri pun tidak sanggup untuk berada pada situasi yang mengorbankan masa dan tenaga. Jika tidak sabar, alamatnya memang tak akan siap selamanya!