Ride sulung pasca PKPPP Kelab Permotoran Northern Versys Owners Group memilih destinasi Seremban sebagai titik permulaan konvoi yang terhenti sejak PKP dilaksanakan pada awal tahun ini. Destinasi pilihan kali ini ialah Kuala Klawang International Circuit. Bermula pada hari Jumaat 25 September, tayar golek pada jam 3 petang dengan menyaksikan penyertaan seramai 22 buah motosikal. Konvoi bergerak dari Pulau Pinang menuju ke Seremban. Hujan sepanjang perjalanan tidak mematahkan semangat para penunggang motosikal berkuasa tinggi melusuri sepanjang lebuh raya utara selatan.
Konvoi tiba di Seremban tepat jam 9 malam dan disambut oleh rakan bikers dari Negeri Sembilan yang telah menunggu kehadiran para peserta yang seterusnya dibawa ke sebuah kedai dikenali sebagai “Mr. Mansor Kopitiam Power”. Sesi berkenalan dan beramah mesra antara kelab NVOG dengan wakil kelab dari Negeri Sembilan Bikers (N9 Bikers), Versys Owners Group (Bangi Central) serta kelab versys Negeri Sembilan dan & Jempol menyambut kehadiran para peserta. Suasana sangat meriah yang menemukan para peserta dengan rakan-rakan bikers yang hadir. Setelah sesi penyerahan cenderamata kepada wakil kelab, para peserta bersurai menuju ke tempat penginapan di Ampangan Seremban.
Sewal 6 pagi, para peserta telah bangun untuk bersiap sedia. Cuaca pada pagi Sabtu amat baik seakan tahu misi konvoi pada hari ini adalah menawan Kuala Klawang International Circuit yang terkenal di kalangan peminat motosikal, basikal malah kumpulan berkereta. Para peserta bersarapan terlebih dahulu di sebuah restoran berhampiran sebelum memulakan perjalanan menuju ke destinasi yang dirancangkan.
Bermula dari Ampangan, konvoi bergerak menyusuri jalan menuju ke Pantai melalui kawasan reaksi Jeram Toi di mana para peserta singgah bergambar di landskap “Jelebu” sebagai tanda kenangan sebelum tiba di pekan Kuala Klawang. Di sini pula terdapat Muzium Adat dan sekali lagi para peserta berhenti untuk bergambar. Seterusnya konvoi bergerak melalui Jalan Kuala Kelawang – Simpang Pertang di mana suasana dan pemandangan amat menakjubkan dengan selekoh tajam serta mencabar sekali gus mendapat pengalaman sendiri apabila menunggang motosikal berkuasa tinggi di jalan berliku. Adakalanya selekoh amat tajam dan bahaya. Perasan teruja terpampang di wajah masing-masing kepuasaan menimba pengalaman berbaloi berkonvoi dari Pulau Pinang, beratus kilometer untuk sampai ke sini. Suasana jalan di sini hampir menyerupai 1000 korner yang terdapat di Grik, Karak malah di Cameron Highlands.
Konvoi singgah sebentar di Kampung Chennah kerana tertarik dengan landskap dan arca yang ada di situ. Kampung Chennah Kenaboi, Jelebu amat terkenal dengan tapak perkhemahan yang menarik ramai pengunjung pada hujung minggu. Setelah bergambar kenangan, perjalanan diteruskan semula ke hentian seterusnya iaitu MZ Corner. Kedai kopi MZ Corner ini berkonsepkan “PIT STOP” yang menjadi tumpuan para bikers untuk singgah menghilangkan dahaga serta menjamu sarapan pagi. Seteleah selesai berehat, perjalanan diteruskan menuju ke sempadan Negeri Sembilan – Selangor. Singgah di Empangan Semenyih untuk bergambar sebelum berhenti rehat di Sungai Tekala Recreation Forest sambil menikmati keindahan alam.
Tepat Jam 12 tengahari, para peserta meneruskan perjalanan semula ke Pekan Semenyih sebelum mengambil Jalan Broga – Lenggeng untuk ke Pantai bagi memenuhi jemputan kenduri sahabat bikers Negeri Sembilan. Para peserta tiba di rumah kenduri pada jam 1 tengahari dan disambut membuatkan para peserta merasai adat kenduri di situ. Amat meriah walaupun terbatas dengan PKPP tetapi suasananya mengujakan. Para peserta dijamu makanan ruji Negeri Sembilan yang jarang ditemui. Setelah bergambar mesra dengan kedua-dua pengantin, para peserta bergerak ke destinasi seterusnya dan singgah bersolat sebelum ke gerai Cendol Songkok Tinggi Kg. Jiboi Baru yang terkenal di Seremban. Sebelah malamnya, para peserta dijemput Pengarah Kolej Vokasional Ampangan Tuan Sarimen untuk satu majlis makan malam ringkas.
Hari ketiga, para peserta memulakan perjalanan seawal 8 pagi menuju sebuah gerai di Ampangan Seremban untuk bersarapan sebelum bertolak meziarahi makam isteri Abang Azizan Majid yang menjadi tuan rumah selama 3 hari ini. Makam arwah Kak Ani dalam kenangan. Setelah itu, konvoi NVOG bergerak menuju ke Cheras melalui Lebuh Raya Utara Sungai Besi bagi memenuhi undangan jemputan dari Abang Badri dan Kak Rohaya sempena Santai Sarapan Pagi NVOG yang terletak di Sri Melaka Cheras. Para peserta disajikan dengan pelbagai juadah kuih-muih, Nasi Dagang dan Roti Jala yang dibuat sendiri oleh anak menantu beliau. Setelah selesai, para peserta dibawa anak Abang Badri menziarahi Istana Negara yang baru dan singgah bergambar sebagai kenangan sebelum dibawa pula ke Rawang menggunakan jalan lama untuk ke Jambatan Tertinggi Di Malaysia yang baru dibuka untuk merakam kenangan sebelum bergerak pulang ke Utara.
Konvoi NVOG Ride Kuala Klawang Pasca PKPP kali ini banyak mengimbau kenangan dengan pelbagai pengalaman baru dan rakan baru. NVOG & Friends mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang terlibat membantu menjayakan misi kali ini. Pengalaman yang indah ini akan sentiasa tersemat di sanubari dan diingati selamanya. Kesimpulan yang boleh dirumuskan disini, Malaysia ada tempat-tempat yang menarik untuk diterokai serta dilawati dengan struktur jalan yang cantik seperti di negara jiran. Ambil peluang untuk berkunjung tempat-tempat menarik di Malaysia terlebih dahulu, anda pasti akan merasa lebih menghargai semangat Malaysia.