Secara sah dan rasminya, Nimbus Halo merupakan sebuah motosikal yang beroda tiga tetapi didatangkan dengan beberapa ciri keselamatan yang boleh ditemui pada sebuah kereta konvensional. Secara keseluruhannya, ia dikuasakan oleh elektrik dan kerana saiz yang kecil, sangat mudah ditunggang atau meredah jalan yang sesak. Bukan itu sahaja, kos pengendaliannya juga sangat murah.
Apa yang menariknya skuter elektrik kereta ini?
Dijangka berada di pasaran, Nimbus bercadang untuk menawarkan dua model terlebih dahulu iaitu Halo dan X. Terdapat beberapa perbezaan di antara dua model ini kecuali sesetengah bahagian dengan gentian karbon ke atas model X dan kelajuan yang dipertingkatkan.
Idea atau tujuan sebenar pembinaan Nimbus ini adalah untuk menyediakan pengangkutan urban yang cekap dan sangat menyenangkan seperti sebuah motosikal, namun pada masa yang sama tetap selamat dan melindungi dari pelbagai keadaan cuaca seperti sebuah kereta biasa.
Jika diperhatikan, model ini disediakan dengan tempat duduk tetapi bahagian belakang agak sempit. Walaupun begitu, ia masih mempunyai ruang yang cukup untuk menyimpan barang termasuk barang-barang runcit. Kelebihan yang ada pada Nimbus ini terletak pada saiznya yang kecil yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan termasuk beg udara dan LDW (Lane Departure Warning) juga AEB (Automated Emergency Braking).
Di bahagian kabin pula, ia didatangkan dengan penghawa dingin standard, speaker bluetooth dan pemapar infotainment. Jelas sekali, ia bukan sekadar kenderaan yang dilengkapkan dengan keselesaan yang ekstra tetapi boleh diharapkan untuk membawa anda dari satu destinasi ke destinasi yang lain dengan selamat. Kalau anda mahu sampai dengan pantas terutamanya di kawasan bandar, Nimbus tiada sebarang masalah.
Menurut Nimbus, Halo adalah 3 kali ganda lebih bersifat mesra alam berbanding kereta elektrik kerana lebih kecil dengan kecekapan lebih bagus (kerana saiznya). Dikuasakan oleh bateri 8.1 kWh, boleh diupgrade sehingga 12.4kWh untuk jarak perjalanan sekitar 126km dan 191km. Kelajuan tertinggi yang dicatatkan pula adalah 50 mph (80 kph) untuk Nimbus Halo dan 90 mph (145 kph) untuk Nimbus X.
Sumber : Autoevolution.com