Kerajaaan Kelantan mengerakkan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dalam normal baharu, ketika negara masih berdepan penularan wabak COVID-19.
Pengerusi Belia, Sukan, NGO negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata ini selari dengan peranan NGO itu yang sentiasa memainkan peranan penting dalam menyebarkan pelbagai maklumat kepada masyarakat terutamanya berkaitan agenda kerajaan.
“Kelantan sendiri mempunyai lebih 1,000 NGO yang berdaftar dan keahlian pelbagai latar bekalang yang mampu membantu kerajaan menyampaikan mesej kerajaan terutamanya melibatkan sambutan bulan Kebangsaan dan semangat cinta negara.

“Sebagai contoh, kelab Kelantan Bikers melakukan program bersama komuniti bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat,” katanya pada sidang media selepas merasmi program Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Wat Machimmaram, Jubakar Darat, di sini.
Sempena program itu sebanyak 20 motosikal berkuasa tinggi dari kelab Kelantan Bikers mengambil bahagian bagi menyemarakkan kempen mengibar Jalur Gemilang.
Wan Roslan berkata pihaknya turut menggalakkan NGO bekerjasama dengan agensi kerajaan pusat dan negeri untuk menganjurkan program yang mampu memupuk semangat cinta kepada tanah air.
“Kita ada banyak NGO yang melibatkan pelbagai budaya, bangsa dan agama di negeri ini…jika kesemua NGO bergerak bersama agensi kerajaan, saya yakin semangat cinta kepada negara akan lebih terserlah,” katanya.
Beliau berkata sambutan Hari Kebangsaan di Kelantan akan diadakan secara sederhana dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan disambut dalam suasana normal baharu.
“Normal baharu dan COVID-19 menjadi platfrom kepada rakyat negara ini untuk bersatu padu ‘berperang’ melahirkan semangat cinta kepada negara tanpa mengira bangsa, agama mahupun kaum,” katanya. — BERNAMA.