Motosikal dan skuter elektrik datang dalam pelbagai bentuk dan saiz. Jika dahulu motosikal elektrik dilihat sebagai sebuah pengangkutan tiada berjiwa yang kosong tanpa ‘jiwa’ dan hanya digunakan untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain, sekarang ia sudah berubah. Terdapat dua spektrum berbeza di mana yang pertama merupakan jentera prestasi dari Energica dan juga Zero. Satu lagi terdiri daripada jentera yang dipenuhi dengan gaya hidup lebih meriah.
Motosikal elektrik dengan kelajuan rendah, Eysing PF40 ini direka dengan kolaborasi bersama pereka lagenda Itali iaitu Pininfarina. Secara teknikal, ia dikategorikan sebagai moped walaupun tidak mempunyai pedal fizikal. Justeru, ia digelar sebagai motosikal elektrik berkelajuan rendah dan prestasinya pula bukan sesuatu yang boleh dibanggakan melainkan gayanya yang benar-benar tampil unik. Dikuasakan oleh motor yang menghasilkan 1.5kW dan didatangkan dalam dua varian dengan kelajuan tertinggi 15.5 batu per jam dan 28 batu per jam.
Tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang sudut teknikalnya tetapi macam-macam boleh disentuh tentang gaya penampilannya. Sebagaimana yang dinyatakan awal tadi, Eysing PF40 ini direka dengan kolaborasi dengan firma rekaan lagenda Itali iaitu Pininfarina. Jelas sekali dapat dilihat sumber inspirasi rekaan motor ini dengan penampilan yang elegan, rekaan retro menjadikan ia cukup sebab untuk menarik perhatian.
Di bahagian hadapan motosikal ini menampilkan lampu bulat dilengkapi penutup yang berkilat dengan gauge analog, menguatkan lagi ciri-ciri retronya. Jika diperhatikan dengan teliti, bahagian hadapannya dilengkapi dengan fork suspensi old-school yang diperbuat daripada tiub metal nipis. Di bahagian belakangnya pula, tiada sebarang suspensi dipasangkan. Motor Eysing PF40 ini menggunakan roda aloi multi-spoke yang memberi keseimbangan kepada moden retro dan juga nilai estetiknya dengan cukup baik.
Lebih menarik lagi, motor Eysing PF40 ini menampilkan tangki bahan api artifisial yang berfungsi sebagai ruang simpan barang yang berguna untuk keperluan harian. Dengan gaya yang cukup unik, motor Eysing PF40 ini bukan sebuah jentera yang ditawarkan pada harga mampu milik. Dikatakan ia dijual pada harga bermula dari $14,607 USD (RM64,707.06).
Sumber : Rideapart, Eysing