Honda secara rasmi memperkenalkan WN7, motosikal elektrik pertama mereka di Eropah dalam segmen naked Fun dengan bateri tetap. Pelancaran ini menandakan langkah penting dalam strategi elektrifikasi Honda, seiring dengan komitmen syarikat untuk mencapai neutral karbon menjelang tahun 2050. Dengan WN7, Honda memulakan era baharu dalam barisan motosikalnya, menggabungkan teknologi mesra alam dengan warisan lebih 75 tahun kepakaran pembangunan motosikal.
Tahun 2024 dikenali sebagai titik permulaan pengembangan barisan motosikal elektrik secara global oleh Honda. Sejak itu, syarikat ini mempercepatkan kemasukan ke pasaran EV dengan memperluas penawaran model baharu di pelbagai segmen. WN7 hadir sebagai model produksi pertama berasaskan konsep EV Fun Concept yang pernah dipamerkan di EICMA 2024 di Milan, Itali. Dengan pelancaran ini, Honda bukan sahaja menyasarkan model komuter bandar, tetapi juga mengisi segmen “Fun” untuk penunggang yang mencari gabungan kuasa, gaya dan keseronokan tunggangan.
Nama WN7 turut membawa makna simbolik yang mencerminkan falsafah pembangunan Honda. Huruf “W” merujuk kepada konsep pembangunan Be the Wind, yang menekankan kebebasan dan kelancaran ketika menunggang. Huruf “N” pula mewakili kategori Naked, iaitu gaya rekaan ringkas tanpa fairing yang menyerlahkan karakter sporty. Angka “7” digunakan untuk menunjukkan kelas output jentera ini, sekali gus menandakan kedudukannya dalam hierarki prestasi motosikal elektrik Honda.
Dari segi teknologi, Honda WN7 dilengkapi fixed lithium-ion battery yang mampu memberikan jarak tunggangan melebihi 130 km untuk sekali cas penuh. Ia menyokong CCS2 fast charging, membolehkan bateri dicas daripada 20% ke 80% dalam masa hanya 30 minit. Untuk kegunaan di rumah, pengecasan penuh disiapkan dalam masa kurang tiga jam, menjadikannya praktikal untuk rutin harian penunggang bandar mahupun perjalanan santai. Sistem ini memberi keseimbangan antara kelajuan pengecasan dan kemudahan, sesuatu yang penting bagi motosikal elektrik moden.
Dari segi prestasi, WN7 dibangunkan untuk menyaingi motosikal enjin pembakaran dalaman. Kuasa yang dihasilkan setara dengan motosikal 600cc ICE, torknya pula menyamai motosikal 1000cc ICE. Gabungan ini memberikan pecutan pantas serta daya kilas yang kuat, sesuai untuk penunggang yang mahukan pengalaman tunggangan bertenaga. Walaupun tanpa deruman enjin konvensional, WN7 menawarkan perjalanan yang senyap dan lancar, sekaligus menghadirkan sensasi berbeza tetapi tetap mengekalkan keterujaan yang menjadi identiti motosikal Honda.
Rekaan luaran Honda WN7 tampil dengan garis tubuh futuristik dan ramping, menonjolkan identiti khas sebuah motosikal elektrik moden. Ia dilengkapi TFT 5 inci berwarna yang berfungsi sebagai pusat kawalan utama, membolehkan penunggang memantau maklumat tunggangan dengan jelas. Paparan ini turut menyokong sambungan dengan aplikasi Honda RoadSync, yang membolehkan integrasi navigasi, muzik, panggilan telefon serta mesej terus ke skrin motosikal. Gabungan reka bentuk moden dengan teknologi pintar ini menjadikan WN7 bukan sahaja berkuasa, malah sesuai dengan gaya hidup penunggang urban masa kini.
Kehadiran WN7 merupakan langkah penting dalam strategi elektrifikasi global Honda. Model ini menjadi permulaan kepada barisan motosikal elektrik yang lebih menyeluruh, daripada skuter komuter hinggalah ke model berprestasi tinggi dalam segmen Fun. Dengan menyediakan pelbagai pilihan, Honda berhasrat memenuhi keperluan pelbagai lapisan penunggang di seluruh dunia, sambil memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju industri yang progresif dan berorientasikan kelestarian.
Pelancaran Honda WN7 jelas membuktikan kesungguhan Honda dalam mengorak langkah ke arah mobiliti masa depan. Sebagai motosikal elektrik pertama mereka dalam segmen naked Fun dengan bateri tetap, WN7 bukan sahaja melambangkan evolusi teknologi, tetapi juga tekad untuk mengekalkan keseronokan tunggangan dalam era elektrifikasi. Dengan gabungan prestasi setara motosikal enjin konvensional, rekaan futuristik dan teknologi pintar, WN7 berpotensi menjadi ikon baharu yang menandakan bermulanya era elektrik bagi motosikal Honda di pentas global.
Sumber : Honda Global