Honda sekali lagi mencuri perhatian dunia permotoran dengan memperkenalkan dua model terbaharu berkapasiti pertengahan di pentas CIMAMotor Show, Chongqing, China. Kehadiran CB500 Super Four (CB500SF) dengan gaya retro standard, bersama CBR500R Four dalam bentuk sportbike moden, menandakan kemunculan semula enjin empat silinder sebaris dalam segmen 500cc. Kedua-dua model ini dijangka memasuki pasaran pada musim bunga tahun 2026, walaupun masih belum dipastikan negara mana yang akan menerima barisan awalnya.
Sumber kuasa bagi kedua-dua model ini ialah enjin baharu 502cc Inline-Four yang berupaya menghasilkan sekitar 80 hp. Enjin ini bukan sahaja menjanjikan karakter tunggangan lebih halus, malah memberi identiti tersendiri dalam kelasnya. Berdasarkan permohonan tanda dagangan di Jepun, varian 400cc juga dijangka ditawarkan bagi memenuhi peraturan lesen bertingkat di beberapa pasaran terpilih.
Satu lagi keistimewaan ialah penggunaan sistem E-Clutch generasi kedua. Jika sebelum ini ia diperkenalkan pada CBR650R dan CB650R, kali ini ia dipertingkat dengan fungsi lebih pintar. Sistem baharu ini bekerja seiring dengan throttle-by-wire untuk melakukan automatic downshift, menjadikan tunggangan lebih lancar. Menariknya, unit motor elektrik untuk sistem ini kini ditempatkan di sebelah kiri enjin. Berbeza dengan generasi pertama yang terletak di sebelah kanan, bagi meningkatkan keseimbangan berat.
Selain itu, CB500SF dan CBR500R Four hadir dengan lima mod tunggangan yang boleh dipilih mengikut keperluan penunggang. Casisnya menggunakan rangka keluli berbentuk diamond, dengan enjin berperanan sebagai komponen struktur utama. Suspensi hadapan dilengkapi fork terbalik (inverted fork) manakala bahagian belakang menggunakan aluminium swingarm yang dipadankan dengan monoshock melalui sambungan ProLink. Kuasa membrek pula diserahkan kepada dual radial-mount Nissin empat piston di bahagian hadapan, menambah keyakinan ketika membrek pada kelajuan tinggi.
Bagi CBR500R Four, reka bentuknya jelas mengikut DNA keluarga CBR. Bahagian sisi mengekalkan identiti daripada model kembarnya CBR500R, namun garis hujung pada fairing atas kini lebih agresif, mengalir seiring dengan pelindung tangki bahan api. Ciri ini menjadikannya tampil lebih racy dan moden, sesuai untuk penunggang yang mahukan gaya sportbike tulen.
Sebaliknya, CB500 Super Four membawa pendekatan berbeza dengan gaya retro standard yang menawan. Inspirasi daripada CB1000F concept jelas kelihatan, lengkap dengan skema warna perak digabungkan jalur biru berkembar. Tanpa fairing, empat paip ekzos yang keluar terus dari enjin terdedah sepenuhnya mengingatkan kepada gaya CB650R, sebelum bersambung ke silencer berlapis krom yang memberi sentuhan klasik.
Walaupun maklumat penuh masih menunggu pendedahan lanjut, sama ada di EICMA Milan pada November ini atau di pameran motosikal Jepun awal tahun hadapan, kehadiran dua model baharu ini sudah cukup untuk menghidupkan semula perbualan mengenai motosikal empat silinder dalam kelas pertengahan. Dengan gabungan teknologi moden, reka bentuk yang berbeza hala tuju serta enjin serba baharu, Honda sekali lagi membuktikan kemampuannya menguasai pasaran global dengan menawarkan sesuatu yang menepati citarasa pelbagai penunggang.
Sumber : Motorcyle.com, Soymotero.net, Caradisia.com