Kejayaan membawakan semula jenama Suzuki ke pasaran Malaysia tidak menghalang Suzuki Malaysia untuk terus memperkenalkan lebih banyak produk yang menarik. Dengan mempunyai lapan buah model yang mendapat sambutan yang amat baik, Suzuki Malaysia kini memperkenalkan dua buah model baharu yang direka khusus untuk jalanan – street fighter Suzuki GSX-S1000 dan skuter maxi Suzuki Burgman 400.
Menurut Dato’ Jeffrey Lim selaku Pengurus Besar dan Pengarah Suzuki Malaysia Sdn Bhd, beliau percaya dua model baharu ini mampu merapatkan lagi jurang dengan produk yang telah dilancarkan sebelum ini.
“Suzuki GSX-S1000 merupakan contoh pendekatan kejuruteraan jenama ini dalam mencapai keseimbangan prestasi yang terbaik – Run. Turn. Stop.
“Ini merupakan motosikal yang direka untuk penunggang berpengalaman yang mahukan kawalan dan ketangkasan yang maksimum untuk pengalaman menunggang yang lebih menyeronokkan,” jelas Lim.
“Malah, binaan unit lampu LED yang tersusun serta rekaan hadapan yang tajam itu mengambil inspirasi daripada rekaan jet pejuang,” beliau menambah.
Sementara itu, skuter maxi Suzuki Burgman 400 merupakan model yang dinantikan oleh para peminat skuter di Malaysia, dan mempunyai pengikut yang tersendiri sejak diperkenalkan di peringkat global pada tahun 1998.
“Burgman bukanlah nama baharu, akan tetapi produk ini telah menerima pelbagai kemas kini bagi mengukuhkan lagi kedudukannya di dalam pasaran skuter.
“Sejak mula dihasilkan, Suzuki Burgman telah pun terjual sebanyak lebih 760,000 unit sehingga akhir tahun 2020, dan ini membuktikan Burgman mempunyai asal usul yang sebenar untuk menjadi kenderaan urban yang popular. Rekaan yang seksi, ditambah dengan ruang yang praktikal, serta enjin DOHC 400cc yang menawarkan keseimbangan kuasa yang ideal dari putaran enjin rendah-ke-pertengahan, dan pecutan yang berkuasa pada rpm yang tinggi,” ujar Lim menjelaskan Burgrman 400.
Mempunyai barisan produk yang bagus mungkin tidak mencukupi, namun dengan pengalaman Suzuki Malaysia yang meluas di dalam pasaran motosikal besar, serta dengan bantuan lebih daripada 70 pusat jualan dan servis bertauliah di seluruh negara, para pemilik yakin pemilikan sesebuah Suzuki akan menjadi pengalaman yang mengujakan.
SUZUKI GSX-S1000
- RM76,900.00 (harga jualan tidak termasuk insurans dan pendaftaran)
- Metallic Triton Blue
Membawakan persamaan dengan model GSX-R1000 yang amat berkuasa itu, GSX-S1000 direka khusus untuk menawan jalan raya. Enjin lejang panjang 999cc yang turut digunakan pada model GSX-R1000 itu digandingkan dengan casis yang kompak dan serba ringan, komponen mekanikal termaju serta posisi tunggangan menegak yang selesa merupakan lambang pendekatan kejuruteraan Suzuki “Run. Turn. Stop” untuk mencapai keseimbangan terbaik bagi prestasi secara keseluruhan.
REKAAN
Konsep produk GSX-S1000 ialah “The Beauty of Naked Aggression” yang jelas menyampaikan peranannya sebagai sebuah jentera street fighter yang mampu membawakan yang terbaik dalam segenap aspek. Pengendalian yang lincah dan kebolehkawalan yang hebat, terima kasih kepada komponen yang ditala rapi dan penggunaan teknologi termaju akan membekalkan penunggang kepuasan yang tinggi kerana dapat mengawal mesin yang berpotensi itu.
Rekaan hadapan mengambil petunjuk daripada jet pejuang, sementara bahagian ekor yang nipis itu mencipta profil yang lebih ringan namun lebih tegap dengan pandangan ke hadapan yang menyerlahkan lagi binaan berotot pada bahagian tengah. Pelekat badan pula menampilkan stail logo serba baharu serta tekstur seakan gentian karbon, diikuti dengan logo GSX-S pada bahagian kunci.
ENJIN
Suzuki GSX-S1000 didatangkan dengan enjin empat silinder sebaris 999cc DOHC sejukan cecair yang sudah terbukti di litar, dan menawarkan output berkuasa yang konsisten dengan fokus terhadap julat kelajuan rendah hingga pertengahan yang sesuai untuk kegunaan tunggangan setiap hari. Sistem ekzos 4-2-1 telah dikemaskini dengan menampilkan sistem Suzuki Exhaust Tuning (SET), unit peredam, penukar bermangkin baharu, serta rekaan kebuk yang disemak semula bagi memenuhi standard piawaian emisi Euro 5.
Suzuki turut mengekalkan identiti resonans bunyi kemasukan dan dalam masa yang sama meningkatkan lagi kualiti not ekzos yang terhasil. Akhir sekali, sistem Suzuki Clutch Assist System (SCAS) memberikan nyahpecutan yang lebih lancar serta kawalan yang lebih baik terutama ketika menurunkan posisi gear, selain memberikan operasi klac yang lebih ringan.
Hasilnya, kuasa maksimum berjaya dipertingkatkan sebanyak 2 PS kepada 152 PS jika dibandingkan dengan model terdahulu. Pecutan juga kini semakin cepat sementara standard emisi berjaya dipertingkatkan untuk memenuhi piawaian Euro 5 yang lebih ketat.
SUZUKI INTELLIGENT RIDE SYSTEM (S.I.R.S)
Sistem Suzuki Drive Model Selector (SDMS) membenarkan pemilihan tiga karakteristik output yang berbeza bagi memenuhi keperluan tunggangan dalam keadaan yang berbeza, sama ada untuk tunggangan sporti, atau menyertai acara hari litar, menunggang di atas jalan yang licin atau kasar, atau sekadar menikmati perjalanan santai di jalan bandar.
Suzuki Traction Control System (STCS) pula didatangkan dengan lima tetapan serta mod OFF bagi memberikan penunggang kawalan yang lebih meyakinkan di dalam situasi yang berbeza dan dalam masa yang sama mengurangkan tekanan dan keletihan.
Sistem kawalan pendikit elektronik ride-by-wire pula kini lebih ringkas, lebih ringan, namun lebih kompak jika dibandingkan dengan penggunaan pendikit mekanikal pada model terdahulu. Sistem Bi-directional Quick Shift (ON/OFF) pula menawarkan penukaran gear yang lebih cepat dan lebih lancar tanpa menggunakan tuil klac. Ini bertujuan untuk mengelakkan kesilapan penukaran dan mengurangkan keletihan, sementara fungsi automatic blipping semasa menurunkan gear pula mampu mencipta pengalaman yang lebih memuaskan hati.
CASIS
Casis yang serba kompak dan ringan itu direka untuk menawarkan karakter yang lincah, seronok untuk ditunggang, serta menawarkan prestasi yang optimum di dalam dunia nyata, tidak kira perjalanan di dalam bandar atau menikmati tunggangan yang lebih sporti.
Aspek tunggangan yang lincah itu turut disumbangkan oleh penggunaan rangka aluminium jenis twin-spar yang lebih tegar dan ringan, sementara lengan ayun aloi aluminium pula diperoleh daripada model super sport GSX-R1000. Bar hendal kini lebih lebar 23 mm dan mempunyai sudut yang telah disemak semula, digandingkan dengan rekaan pelana yang diperbaharui bagi mencapai posisi tunggangan menegak yang menawarkan keselesaan ketika menikmati pengalaman tunggangan yang sporti.
Fork hadapan KYB ø43mm jenis terbalik dan boleh laras sepenuhnya itu turut menawarkan tunggangan yang sporti dan selesa, sementara suspensi belakang link-type boleh laras pula menyumbang kepada kestabilan dan kelincahan. Kapasiti tangki bahan api diperbesarkan kepada 19 liter bagi mengurangkan keperluan pengisian minyak yang kerap, sekali gus memudahkan penunggang ketika melakukan perjalanan jarak jauh. Sistem brek terdiri daripada angkup Brembo empat omboh mono-block dengan rotor berkembar terapung ø310mm dibantu dengan ciri ABS menyumbang kepada prestasi brek yang kuat dan mudah dipercayai.
SUZUKI BURGMAN 400
RM45,999.00 (harga jualan tidak termasuk insurans dan pendaftaran)
Metallic Mat Sword Silver
Pertama kali dilancarkan pada tahun 1998, Burgman 400 menjadi peneraju pasaran baharu untuk skuter bersesaran besar yang menawarkan tahap keselesaan, ruang storan yang praktikal serta pakej penggayaan yang elegan. Burgman 400 telah dikemaskini dengan menampilkan rekaan terbaharu dan standard piawaian emisi Euro 5 serta teknologi baharu seperti sistem dwi percikan dan kawalan cengkaman (traction control).
REKAAN
Rekaan “Burgman Coupe” menawarkan fungsi yang amat dihargai oleh penunggang, termasuklah rekaan badan yang ramping bagi memudahkan pengendalian di dalam bandar dan menyelinap menerusi ruang yang sempit dengan mudah. Rekaan pelana berkembar bertingkat itu amat sesuai untuk tunggangan berdua, dan rekaan peredam menyerlahkan lagi rupa paras arus perdana jentera itu. Rekaan hidung pula menampilkan unit lampu LED berkembar, lampu posisi LED terintegrasi, serta lampu membelok yang diposisikan di bahagian bawah. Bahagian belakang Burgman 400 pula menempatkan lampu kombinasi LED diikuti dengan lampu membelok di bahagian hujung.
ENJIN
Burgman 400 dikuasakan oleh enjin empat lejang silinder tunggal, DOHC, sejukan cecair bersesaran 400cc, dibantu dengan sistem pancitan bahan api yang memberikan daya kilas seimbang pada julat kelajuan rendah-ke-pertengahan serta kawalan pendikit yang dipertingkatkan.
Ia juga turut menawarkan pengalaman tunggangan yang lebih sofistikated pada kelajuan tinggi di lebuh raya, terima kasih kepada komponen enjin yang telah disemak semula seperti kepala silinder, omboh, penyuntik, serta kebuk pembakaran yang dioptimasikan. Teknologi baharu Suzuki Dual Spark Technology menambah bilangan palam pencucuh kepada dua unit bagi meningkatkan tahap kecekapan pembakaran, mengurangkan kadar penggunaan bahan api dan mencapai output kuasa yang lebih stabil.
Hasilnya, enjin 400 cc ini mampu menghasilkan 29.2 PS dan 35.2 Nm dengan bacaan penggunaan bahan api purata 4.0 liter untuk setiap 100 km. Burgman 400 juga membolehkan penunggang menikmati kuasa pecutan yang kuat pada julat kelajuan pertengahan (90 km/j) hingga kelajuan tinggi (120 km/j), tidak kira sama ada menunggang secara solo atau membawa pembonceng.
Suzuki Burgman 400 turut didatangkan dengan sistem kawalan cengkaman (traction control) yang mampu mengurangkan kesan gelinciran ketika memulakan tunggangan apabila pendikit dipulas penuh, dan mengurangkan putaran roda di atas jalan yang licin dan tidak rata bagi mengekalkan kecekapan tunggangan.
Tidak kira apa jua permukaan yang ditempuh seperti aspal basah mahupun jalan berbatu, sistem kawalan cengkaman ini menawarkan ketenangan minda kepada penunggang, serta keupayaan ‘memegang jalan’ yang cemerlang.
CASIS
Rekaan Burgman yang langsing selain menjadikannya lebih mudah dikenali, ia juga menjadikan jentera ini mudah untuk dikendalikan, terutama di atas jalan yang sempit serta di laluan trafik yang sibuk. Pelana yang bertingkat itu menggandingkan kusyen tebal 78.5 mm dengan rekaan yang langsing untuk menawarkan keselesaan yang mewah kepada penunggang dan pembonceng.
Sementara tempat rehat belakang penunggang boleh dilaraskan ke depan sebanyak 15 mm atau 30 mm untuk memberikan sokongan tambahan, dan keselesaan ketika perjalanan yang lebih lama. Biarpun hadir dengan rekaan yang ramping, Burgman 400 masih mampu menyediakan ruang kargo sebesar 42 liter untuk memuatkan dua buah helmet (satu helmet full face dan satu helmet demi-jet), atau barangan keperluan tunggangan.
Terdapat dua ruang storan hadapan masing-masing bersaiz 2.8 liter dan 3.5 liter, di mana salah satu daripadanya menempatkan outlet kuasa DC 12V untuk pengecasan peranti pintar. Sistem fork hadapan teleskopik Φ41mm membenarkan jarak pergerakan roda sebanyak 110 mm dan dibantu dengan penyerap hentak tunggal link-type unik (pergerakan roda sebanyak 100 mm) dengan larasan spring tujuh cara untuk memaksimumkan keseimbangan antara keselesaan dan prestasi yang sporti, selain menawarkan pengendalian dan kebolehgerakan yang luar biasa.
Roda hadapan bersaiz 15 inci bukan sahaja melambangkan imej yang lebih berani, malah menawarkan perasaan kestabilan kepada jentera. Sistem brek terdiri daripada rotor berkembar Φ260mm di hadapan diikuti dengan rotor brek belakang 210 mm bagi menawarkan kuasa pemberhentian yang mencukupi, dibantu dengan sistem brek anti kunci (ABS) yang kini menggunakan unit kawalan baharu yang mengurangkan berat sehingga 36g berbanding model terdahulu.
Kedua-dua model Suzuki GSX-S1000 dan Suzuki Burgman 400 boleh didapati di semua pusat pameran Suzuki di seluruh negara. Kesemua model motosikal Suzuki didatangkan dengan jaminan kilang standard selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km yang disokong oleh jaringan 70 buah pengedar dan pusat servis di seluruh negara.
Maklumat lanjut boleh didapati menerusi www.suzuki.com.my atau emel kepada info@suzuki.com.my