Jangan sesekali memandang rendah kemampuan peminat kerana semangat dan kemampuan mereka melakukan sesuatu selalunya di luar jangkaan. Tidak kira peminat apa sekali pun, minat dan dedikasi tetap sama.
Kalau bercerita tentang peminat jentera dua roda, tidak lengkap tanpa menyebut tentang modifikasi dan restorasi. Ramai yang bukan sahaja minat, malah mempunyai bakat serta kemahiran melakukan modifikasi. Namun, ada juga yang kurang dari sudut bertukang dengan material motor yang sebenar. Bagi golongan ini, anda boleh merujuk pakar yang sedia berkongsi kemahiran masing-masing di YouTube.
Mungkin, ada juga di antara anda yang minat dalam membuat motor sendiri dengan hanya menggunakan LEGO. Selain mudah, anda juga tidak perlu susah hati kalau tidak menjadi. Pastinya ada di antara anda yang meminati kedua-duanya. Motor dan Lego serta teringin untuk menghasilkan motor ikonik dari siri anime atau manga seperti motor Kaneda dari filem lagenda Katsuhiro Otomo, Akira.
Walaupun ia merupakan salah satu animasi yang popular, masih belum ada kit LEGO rasmi untuk membuat motor ini. Ia bukan satu masalah kerana peminat LEGO mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk membina sesuatu yang ingin mereka lihat. Salah seorang peminat LEGO dari Jepun yang dikenali sebagai Kaba di Twitter telah mengumpul bongkah-bongkah LEGO sedia ada dan menjadikannya sebagai kit untuk motor Kaneda.
Kaba telah berkongsi panduan membina motor Kaneda dengan menggunakan bongkah LEGO sedia ada. Jika berminat, anda boleh merujuk video yang turut dikongsikannya di Twitter. Pada tahun ini, Kaba mengemaskini lagi kemahiran membina motor menggunakan LEGO. Kaba telah mengubah dan memperbaiki agar tampil hampir sama dengan motor Kaneda sekiranya LEGO mengeluarkan kit motor popular ini secara rasmi.
Bukan itu sahaja, beliau turut membuat kotak seperti kotak profesional dengan disertakan semua bahagian dari yang kecil sehingga bag bersama zip. Kaba juga menyediakan buku manual untuk kelihatan benar-benar seperti dikeluarkan dari kilang. Ini baru betul-betul peminat!
Sumber : Rideapart.com