Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi NVOG & Friends telah mengadakan “Ride Supercup Akhir Tahun” pada 11 Disember lalu bagi penutup tahun 2020. Ekspedisi selama 3 hari ini disertai seramai 26 buah motosikal di mana kelab NVOG & Friends dalam misi jelajah mencari 1000 korner 2 Banjaran utama di Malaysia.
Konvoi dimulakan seawal 7 pagi dari Pulau Pinang menuju ke Kulim, Kedah yang menjadi tempat para peserta berkumpul sebelum memulakan ekspedisi menunggang merentasi banjaran bintang dari Baling ke Grik sebelum ke hentian rehat titiwangsa melalui Tasik Banding yang terletak di sempadan Perak – Kelantan.
Para peserta singgah di Hentian Titiwangsa untuk berehat seketika serta bergambar sebelum meneruskan perjalanan. Setelah selesai berehat dan menikmati udara segar di hentian puncak titiwangsa, perjalanan diteruskan ke Jeli. Dengan keadaan cuaca yang baik, redup, dingin dan berkabus, para peserta tiba di pekan Jeli tepat pukul 1 petang sebelum masuknya waktu solat Jumaat.
Destinasi seterusnya adalah pekan Dabong di mana menjadi lokasi untuk para peserta menjamu selera makan tengah hari di gerai berhampiran Stesen Keretapi Dabong. Makan tengah hari di bawa khas dari Jerteh oleh Abg Long (Benn Shata) yang berhajat untuk menjamu para peserta yang dimasak oleh isteri beliau. Setelah semuanya selesai, perjalanan diteruskan ke Kuala Krai di mana terletaknya tempat penginapan yang pertama iaitu di Istana Sangkut yang terletak di Kg Chatel, Lata Rek, Laloh, Kelantan.
Resort berkonsep tradisional yang mengekalkan keindahan flora dan fauna yang dikenali sebagai Istana Sangkut ini menawarkan konsep perkelahan yang amat sesuai untuk santai keluarga. Kemudahan disediakan termasuk chalet penginapan, tapak perkhemahan, kemudahan barbeku, Jungle Tracking, Flying Fox dan sebagainya. Pemiliknya Ismail Abdul Manaf, 54, membuka kawasan riadah berkonsepkan kem eko pada penghujung tahun lalu dan memilih nama Istana Sangkut apabila ternampak sebuah pondok yang memang pada asalnya sudah wujud di tanah kebun dibelinya itu.
Para peserta amat teruja dengan konsep Istana Sangkut ini kerana landskap serta nama chalet yang digunakan menggunakan nama enam watak dalam filem klasik Enam Jahanam iaitu Jagindas, Sujama, Mumbala, Karambit, Katipang dan Baragas ditampal di bahagian hadapan. Manakala terdapat sebuah tandas seperti digunakan pada zaman dahulu dengan tanda pangkah bertulis ‘Marjinah’ dan pondok di bahagian belakangnya dinamakan Ahmad Albab. Semua petunjuk itu jika diteliti, ada kaitannya dengan filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan lebih menguatkan lagi andaian bahawa pemiliknya meminati filem klasik itu adalah wujudnya sebuah pondok usang ditampal papan tanda ‘Istana Sangkut’ dengan tulisan daripada arang seperti satu babak dalam filem bertajuk Do Re Mi. Para peserta berasa amat tenang dan menikmati keindahan alam dan berehat untuk hari berikutnya.
Keesokkan harinya, sedikit aktiviti riadah diadakan. Setelah bersarapan pagi di Istana Sangkut, perjalanan dimulakan menuju ke Gua Musang untuk melawat 2 Masjid unik yang terdapat di sana iaitu Masjid Buluh di mana hampir 90 peratus binaan masjid itu dibuat daripada buluh betong tempatan (Dendracalamus asper) dan buluh hitam (Phyllostachys nigra) yang diimport dari Bandung, Indonesia. Masjid yang tersergam indah dan unik itu diilhamkan oleh bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Para peserta sempat bergambar di hadapan Masjid Razaleigh yang dalam pembinaan di mana reka bentuk Masjid ini diambil inspirasi seperti “Masjidil Haram” di Mekah. Berkeluasan 70,000 kaki persegi, masjid dengan rekaan unik dan menarik menggunakan bahan binaan berkualiti tinggi termasuk jubin dibina di atas tapak seluas 1.5 hektar. Masjid ini mula dibina pada akhir 2016, masjid diilhamkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah itu, mampu menampung sehingga 3,500 jemaah pada setiap masa dengan dilengkapi sembilan menara setinggi 30 meter dan tujuh kubah mirip Masjidil Haram.
Setelah melawat kedua-dua masjid ini, para peserta menuju Kedai Makan Ala Kampung POK WA yang merupakan salah satu PitStop Route 8 Gua Musang untuk menikmati makan tengahari sebelum berangkat ke tanah tinggi Cameron. Tepat jam 2 petang, para peserta mula mendaki laluan ke tanah tinggi Cameron yang menjadi destinasi seterusnya menuju ke puncak Lojing melalui Gua Musang. Dengan jalan yang agak baik, para peserta memulas minyak motosikal dengan mengambil selekoh dengan berhati-hati supaya selamat sampai ke Cameron dengan disambut hujan lebat. Konvoi tiba di puncak Cameron Highland dan berhenti seketika untuk membeli belah serta menikmati minuman panas sebelum menuju ke Tanah Rata untuk bermalam. Cuaca di puncak ketika itu amat sejuk walaupun masih terdapat sinar matahari petang. Kedinginan yang nyaman dapat dirasai membuatkan hilang rasa penat dan lelah setelah seharian menunggang. Para peserta bermalam di Tanah Tanah dan menginap di salah satu Homestay yang tedapat di situ.
Pada hari ketiga, setelah semua urusan membeli belah selesai, konvoi mula bergerak turun dari Cameron Highland melalui Simpang Pulai. Dengan deretan kenderaan yang agak banyak, menggangu sedikit kelancaran perjalanan dan membuatkan para peserta konvoi terpaksa lebih berhati-hati mengambil selekoh dan mengelak kenderaan yang datang dari arah bertentangan beberapa kali. Konvoi selamat tiba di kaki bukit Simpang Pulai pada waktu petang.
Konvoi meneruskan perjalanan pulang melalui Ipoh sebelum singgah mengisi minyak di R&R Bukit Gantang sebelum berpisah dengan rakan-rakan lain. Walaupun penat tetapi para peserta berpuas hati kerana konvoi selama 3 hari 2 malam disertai seramai 26 buah motosikal terpaksa menempuh laluan bukit-bukau yang jaraknya hampir 700 KM merentasi 5 buah negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan dan Pahang tanpa sebarang masalah.
Ride kali ini yang terbaik kerana terdapat pelbagai jentera dari 110cc sehingga 650cc dan semua rider yang hadir dapat menamatkan ekspedisi dengan jayanya. Siapa sangka Malaysia juga terdapat destinasi 1000 korner yang tidak kurang hebatnya seperti yang terdapat di negara jiran.
Perkongsian; Fazrul NVOG