Program Konvoi Semarak Kasih Hari Malaysia 2024 yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) pada 8 dan 9 September 2024, berlangsung dengan penuh semangat patriotik. Melibatkan penyertaan seramai 67 penunggang motosikal termasuk kakitangan KEDA melalui pasukan KEDA Bikers serta penunggang jemputan luar. Konvoi ini bertujuan meraikan sambutan Hari Malaysia bersama komuniti di desa-desa KEDA yang terpilih di seluruh Kedah.
Menariknya, angka 67 ini bukan sahaja merujuk kepada bilangan peserta, tetapi juga simbolik kepada ulang tahun ke-67 kemerdekaan Malaysia, menjadikan program ini lebih bermakna. Konvoi ini dilepaskan dari Kompleks Ibu Pejabat KEDA di Jalan Langgar, dengan majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom, yang turut menekankan kepentingan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat. Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, yang juga mengetuai konvoi ini, memberi contoh teladan dalam mengeratkan hubungan antara warga kerja KEDA dan komuniti desa.
Objektif utama konvoi ini adalah untuk menyebarkan semangat perpaduan dan meraikan Hari Malaysia dengan cara yang unik dan dekat di hati rakyat, terutamanya di kawasan desa. Dengan beberapa Desa KEDA dijadikan sebagai destinasi persinggahan, termasuk Desa KEDA Wang di Kubang Pasu, Desa KEDA Semeliang di Padang Terap, serta Desa KEDA Ulu Bakai di Baling, program ini berjaya mempertemukan kakitangan KEDA dan masyarakat setempat dalam suasana penuh muhibah.
Di setiap hentian konvoi, pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Malaysia. Antaranya ialah penyerahan bendera kepada kepimpinan desa, penyampaian bakul makanan kepada golongan yang memerlukan, serta hebahan lagu patriotik yang diiringi oleh Jabatan Penerangan. Sambutan ini bukan sahaja menghidupkan suasana kemerdekaan, malah memperkukuhkan hubungan antara agensi kerajaan dan rakyat.
Sebagai tambahan kepada program konvoi, Pejabat KEDA Zon 4, Sik, telah menganjurkan acara Malam Santai Jiwa Merdeka yang menampilkan pelbagai persembahan patriotik, termasuk deklamasi sajak, buskers, dan persembahan kumpulan gendang silat. Keterlibatan pempengaruh terkenal media sosial seperti Cikgu Meera turut mencuri perhatian ramai. Aktiviti lain seperti memanah, kenduri rakyat, dan cabutan bertuah juga menarik ramai peserta, menjadikan malam tersebut bukan sahaja penuh dengan semangat patriotisme, malah menyeronokkan untuk semua lapisan masyarakat.
Acara ini turut mendapat sokongan penuh dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, yang bukan sahaja menyumbang dalam memastikan keselamatan konvoi, tetapi juga turut serta sebagai peserta dalam program ini.
Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom, dalam ucapannya, menekankan bahawa program ini bukan sahaja sekadar meraikan Hari Malaysia, tetapi juga satu inisiatif penting dalam menyatukan masyarakat dan memperkukuhkan ikatan antara warga KEDA dan komuniti desa. “Harga keamanan dan perpaduan ini adalah terlalu mahal dan tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Bagi sesiapa yang cuba memporakperandakan perpaduan maka merekalah yang sebenarnya menghancurkan keamanan”, ujar beliau.
Selain itu, program ini juga menjadi landasan untuk KEDA meneruskan komitmennya dalam pembangunan sosial dan ekonomi luar bandar. KEDA merancang untuk memperluaskan lagi aktiviti konvoi bermotosikal ini dengan melibatkan lebih ramai pihak, termasuk usahawan dan belia dari desa-desa KEDA pada masa hadapan.
Dengan kejayaan siri kedua Konvoi Semarak Kasih ini, KEDA berharap untuk terus memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan semangat kebersamaan di kalangan komuniti, khususnya di desa-desa di Kedah, dan memacu kemajuan yang berteraskan perpaduan dan kesejahteraan rakyat. ~ kNor ~