Club Antique Motor Kulim (CAMK) yang ditubuhkan pada tahun 2015, baru-baru ini mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-10 di Hotel Seri Malaysia, Kulim, Kedah. Mesyuarat yang berlangsung pada 4 Januari 2025 itu dihadiri oleh 85% ahli kelab dan bertujuan untuk memilih barisan jawatankuasa baharu bagi tahun 2025 dan 2026.
Acara bermula pada jam 8 malam dengan ucapan pembukaan dan sesi laporan aktiviti tahunan kelab. Perlantikan jawatankuasa baharu menyaksikan Abdul Razak Bin Buhari, atau lebih dikenali sebagai Jaq Kapcai, terus diberi kepercayaan untuk memegang jawatan Pengerusi. Jawatan Setiausaha pula diisi oleh Ahmad Salihin Bin Baseri, manakala Mohd Shukri Bin Yusoff dilantik sebagai Bendahari.
Barisan jawatankuasa lain termasuk Muhammad Firdaus Bin Ahamad Radzuan sebagai Ketua Marshall, Abdul Latip Bin Abdullah untuk Tugas-tugas Khas, dan Zainudin Bin Nordin sebagai Penasihat. Perlantikan ini mencerminkan keyakinan ahli-ahli CAMK terhadap kepimpinan yang berpengalaman dan komited.
Mesyuarat turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang disokong oleh barisan penaja seperti Foxdy, Aces Helmets, Keith Cruiser Helmets, dan Triple Blastwork. Tidak ketinggalan penaja lain seperti Syarikat Roti SM, Sardin Kaksal, dan beberapa penginapan terkenal di Langkawi seperti White Lodge Langkawi dan NR Langkawi Motel.
Selain itu, mesyuarat kali ini juga menandakan 10 tahun kepimpinan Abdul Razak sebagai Pengerusi CAMK. Usaha dan dedikasinya layak diberikan penghargaan dalam memastikan kelab terus aktif dan berkembang sebagai sebuah komuniti yang erat di kalangan peminat motosikal klasik.
Dengan komitmen barisan jawatankuasa baharu, CAMK dijangka terus cemerlang dalam memperkukuhkan ukhuwah ahli dan menganjurkan pelbagai aktiviti menarik untuk tahun-tahun mendatang.