Sukan motocross juga dikenali sebagai motosikal dua roda tidak berdaftar atau secara kolektif disebut Non-Road Vehicles atau ORV (kenderaan bukan di atas jalan raya) bagi kebanyakan negara di Eropah, Amerika Syarikat termasuk jenis kenderaan seperti ATV, UTV, BAJA dan Go kart.
Pada tanggal 25 April 2002, Caleb Wyatt muncul pelumba pertama memperkenalkan aksi backflip dalam acara sukan motocross. Sejak aksi Wyatt itu, berpuluh-puluh pelumba baharu dalam sukan motosikal ini terus meniru dan memperagakan aksi backflip dalam sukan ini. Ia merupakan inovasi terbaharu yang tercipta dalam sukan motocross. Para pelumba akan menunjukkan aksi bermula dari tanah berlumpur dan akan memecut untuk mendapat anjakan dan lompatan yang tinggi di udara.
Ketika terbang di udara, pelumba mula melakukan pelbagai aksi backflip dan pendaratan yang mantap membolehkan mereka mendapat kutipan mata yang banyak oleh juri pertandingan. Motocross moden sebenarnya bukan hanya sekadar sukan, tetapi dibahagikan kepada beberapa disiplin yang berbeza yang menguji kemahiran berbeza dan memberikan pengalaman mendebar dan mengujakan buat penonton. Supercross adalah versi sukan dalam stadium yang berasal dari sukan motocross.
Supercross yang dibina pada tahun 1970-an adalah acara sukan yang memudahkan peminat mengikuti dan menikmati permainan itu sendiri. Pelumba Australia, Robbie Madison antara pelumba dalam sukan stadium yang membuat catatan rekod dunia apabila lompatannya sejauh 98 meter muncul lompatan terjauh pada satu perlumbaan motocross yang diadakan di Las Vegas pada Januari 2018.
Motocross juga boleh turut tersenarai dalam sukan ektrem dan boleh dinikmati di X Games, acara sukan X-Tream yang diadakan secara tahunan oleh saluran sukan ESPN. Nama Brian Deegan merupakan salah seorang pelumba dan pesaing X Motocross paling kompetitif dengan memenangi 10 pingat dalam pelbagai pertandingan, termasuk tiga pingat emas yang dimenanginya.
Disediakan oleh : Mohd Izzuddin Kamaruddin