Berlatarbelakangkan hutan hijau di Ukay Perdana, Kuala Lumpur, Kejuaraan Sifu International Enduro 2020 yang julung-julung kali dianjurkan oleh Persatuan 2 Roda Malaysia (P2RM) dengan kerjasama FKX Film yang diketuai oleh pelakon dan pengarah terkenal Malaysia, Datuk Farid Kamil akan membangkitkan keseronokan perlumbaan sukan lasak itu sendiri.
Selain itu, kejuaraan yang akan berlangsung dari 28 Feb hingga 1 Mac depan turut menawarkan sejumlah wang tunai terbesar sebanyak USD17,000.00 (RM68,000.00) dalam enam kategori yang dipertandingkan. Penganjuran yang berlangsung sekitar Kuala Lumpur membabitkan 3 pusingan turut membabitkan hadiah wang keseluruhan berjumlah USD50,000.00 (RM200,000.00) dan ini tidak termasuk hadiah bagi juara keseluruhan setiap kategori kejuaraan ini.
Hadiah kemenangan ini menjadi tarikan utama kepada semua pelumba samada tempatan dan dari seluruh dunia untuk sama-sama merasai cabaran trek yang pertama kali dibuka untuk perlumbaan enduro ini. Berlatar belakangkan kawasan berbukit pemandangan bandaraya Kuala Lumpur, Kejuaraan Sifu International Enduro 2020 akan menyaksikan semua pelumba bertanding akan mempamerkan kemahiran dan teknik masing-masing.
Litar sepanjang 5.5km ini melibatkan kawasan berbukit dan sedikit mendatar tetapi perlu mengharungi halangan-halangan sukar samada yang disediakan oleh penganjur atau cabaran sediada. Menambahkan lagi kemeriahan penganjuran Kejuaraan Sifu Enduro ini, pihak P2RM menerbangkan khas Tim Coleman, seorang pelumba dari Australia yang cukup berpengalaman dalam sukan lasak ini.
Untuk rekod, Coleman berpengalaman selama 15 tahun di dalam perlumbaan trial dan enduro selain menyertai pelbagai pertandingan dan pertunjukan malah turut mendidik ramai pelumba muda di Australia.
Menurut Farid Kamil, idea penganjuran Sifu Enduro ini hadir ketika pembikinan filem Remp-It 2. “Objektif kami adalah membanteras genjala lumba haram. Sekali gus, saya berharap, platform ini mampu mengangkat taraf sukan permotoran seperti enduro ini kepada tahap yang lebih baik selepas ini,” jelas Farid.
Kemeriahan Sifu International Enduro 2020 tampak meriah dengan penyertaan ramai selebriti tanahair seperti Achey (Bocey), Black Hanifah, Nurul Nabila, Cat Farish, bekas pelumba Elly Idzlianizar Ilias dan ramai lagi akan beraksi dalam perlumbaan julung kali ini.
Sebanyak enam kategori dipertandingkan antaranya Gold Platinium (Expert), Gold (Intermidiate), Silver (VViP45), Bronze (CKD), Superstar (Selebriti) dan Iron (Wanita) dipertandingkan dalam perlumbaan yang diadakan sebanyak tiga pusingan itu.
Farid yang pernah beraksi dalam perlumbaan cub prix kebangsaan pada tahun 1996 dan 1997 turut membayangkan akan menubuhkan pasukan sendiri. “Itu harapan saya di masa depan. Dan saya berharap impian ini akan menjadi nyata dengan kerjasama penajaan sekali gus dapat membawa pelumba muda untuk bersaing dalam perlumbaan yang sah dan berprestij seperti arena cub prix,” ujar Farid Kamil lagi.
Disediakan oleh : Mohd Izzuddin Kamaruddin