Pelumba untuk pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP, Maverick Vinaléz, akan berpisah dengan pasukan itu dan berpindah ke Aprilia mulai tahun depan.
Vinaléz sebenarnya mempunyai kontrak dengan pasukan Yamaha sehingga 2023 tetapi pasukannya kini bersetuju untuk melepaskan beliau dengan lebih awal. Pelumba berbangsa Sepanyol ini telah merasa tidak puas hati dengan pasukannya, sehingga beliau menyatakannya secara terbuka ketika ditemuramah oleh sebuah portal sukan permotoran baru-baru ini. “Saya rasa Yamaha seperti tidak mahu mendengar cakap saya,” hujahnya.
Beliau telah menyaksikan prestasinya yang agak terumbang-ambing dalam beberapa tahun ini walaupun memenangi pusingan pertama di Qatar. Beliau selalunya laju pada waktu kelayakan masa tetapi mengakhiri perlumbaan di tempat-tempat yang jauh di belakang. Beliau juga pernah memulakan perlumbaan daripada petak yang paling akhir di pusingan MotoGP Jerman pada tahun ini. Tambah lagi, Vinaléz kelihatan tidak puas hati walaupun menamatkan perlumbaan MotoGP Belanda di tempat kedua semalam.
Apapun, Lin Jarvis selaku pengurus pasukan berkata dia berasa sedih kerana terpaksa melepas Vinaléz selepas beraksi selama 5 musim dengan Yamaha. Jarvis juga berkata bahawa perbincangan untuk keluar daripada Yamaha berlaku sejak perlumbaan di pusing Jerman lagi.