Walaupun Malaysia tidak tergolong di dalam kalendar MotoGP 2021 secara rasmi, peminat-peminat mahupun syarikat-syarikat barangan motosikal masih berharap agar ia dapat berlangsung pada bulan Oktober ini.
Malangnya, terdapat desas-desus bahawa perlumbaan MotoGP Malaysia akan digugurkan sama sekali untuk tahun ini disebabkan kes positif Covid-19 baharu yang kian melonjak saban hari dan masih lagi di tahap membimbangkan.
Pengguguran Malaysia sebagai salah satu pusingan kejuaraan dunia ini bukanlah julung-julung kalinya berlaku. Malah, sesi Ujian Pra-Musim (Winter Test) 2021 yang sepatutnya berlangsung pada bulan-bulan Februari dan Mac tahun ini juga dibatalkan.
Ketika ini, mata dunia sedang memandang kepada keupayaan kerajaan Malaysia untuk menandangi isu wabak Covid-19 ini. Berbanding di beberapa litar di Eropah, para penonton telah mula dibenarkan untuk hadir di pusingan-pusingan sebelum ini yang berlangsung di litar Mugello, Itali serta di litar Catalunya, Sepanyol.
Setiap perlumbaan menyaksikan kehadiran lebih kurang 20,000 penonton. Tambahan pula, litar Red Bull Ring, Austria akan membenarkan kehadiran penuh dengan syarat samada mereka telah mendapat vaksin, diuji, atau sembuh daripada penyakit tersebut.
Sama-samalah kita doakan kita dihindari wabak ini dan tetap mematuhi SOP yang ditetapkan.