Dianggarkan seramai 30,000 orang pengunjung dari seluruh negara dan negara luar seperti Thailand, Singapura dan Indonesia menghadiri drag terbesar pernah diadakan di Malaysia. Menawarkan hadiah berjumlah RM70,000, perlumbaan Perak Drag Racing Jamboree 2019 ini bukan sahaja menyasarkan pasukan pelumba motosikal dan kereta profesional malah turut menarik penyertaan pelumba motosikal dan kereta jalanan sekali gus menolak aktiviti-aktiviti kurang sihat termasuk lumba haram.
Di samping itu, pihak penganjur komited untuk menjadikan program ini sebagai platform membantu Polis Diraja Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan dalam Kempen Perangi Dadah Habis-habisan dan Bersama Mencegah Jenayah. Sepanjang program berlangsung, pihak PDRM akan membuka kaunter bayaran saman dengan mengenakan potongan diskaun sebanyak 50% yang ditawarkan untuk masyarakat Ipoh dan kawasan sekitarnya.
Kehadiran orang ramai amat dialu-alukan sepanjang penganjuran Perak Drag Racing Jamboree 2019 yang dijadualkan berlangsung selama dua hari pada 26 dan 27 Oktober ini di Movie Animation Park Studios, Bandar Meru Raya yang berlokasi di Ipoh, Perak. Jangan lepaskan peluang dan datanglah beramai-ramai bersama keluarga dan kenalan. Datang, jangan tak datang!