Bertempat di Dewan Kompleks Sukan KHTP Kulim telah berlangsungnya Majlis Iftar PDRM Zon Kedah Selatan bersama YDH Datuk Ketua Polis Kedah, YDH CP Datuk Wan Hassan Bin Wan Ahmad. Dianjurkan oleh Ibu Pejabat Daerah Polis Kulim diketuai Tuan Supt Mohd Redzuan Bin Saleh, Ketua Polis Daerah Kulim Kedah, majlis ini turut dimeriahkan Yg Bhg Datin Sarihah Binti Jusoh, Pengerusi PERKEP Kontinjen Kedah.
Bagi menyemarakkan lagi penganjuran majlis iftar ini, kelab permotoran dua roda yang terkenal di bahagian utara Club Antique Motor Kulim (CAMK) turut dijemput hadir. Seramai 16 orang ahli telah hadir ke majlis iftar ini bersama dengan PDRM Kulim Kedah.
Sebagai tanda penghargaan dan berbesar hati di atas jemputan yang cukup bermakna ini, CAMK telah memberi cenderahati kepada KP Kedah yang disempurnakan oleh Tuan Pengerusi CAMK sendiri iaitu saudara Abdul Razak Bin Buhari. Pelbagai aturcara turut disediakan sepanjang majlis iftar ini berjalan termasuk sumbangan kepada Balu dan Anak Istimewa Polis IPD Kulim, Baling dan Bandar Baharu.
Bagi makluman, majlis ini merupakan acara tahunan yang diadakan setiap kali bulan Ramadan dan juga sebagai inisiatif PDRM Kontinjen Kedah menyantuni warga PDRM Kedah. Beramah mesra serta menghayati bulan Ramadan dan meningkatkan lagi amal ibadah seperti bersedekah kepada golongan yang memerlukan. Sesungguhnya, tidak miskin orang yang bersedekah.