Diadakan pada 23 Jun lalu, program “From Taiping With Love” yang memasuki kali keenam ini merupakan anjuran ROSE Riders. Berkonsepkan lawatan ke lokasi-lokasi menarik sekitar Taiping, program kali ini turut mendapat kerjasama dari Kelab Random Ride, Kelab CB500X Community dan juga Kelab Ladies Speed.
Sebanyak 65 buah jentera pelbagai cc terlibat dalam penganjuran program kali ini yang turut disertai oleh tetamu kehormat Dato’ Majid yang merupakan pemilik Pitstop A60. Program bertambah meriah dengan penglibatan Tn Hanip OCS Balai Polis Kamunting dan Tn Sathiya dari Unit Trafik Taiping.
Meneruskan tradisi program, beberapa lokasi telah dipilih antaranya seperti kaki Bukit Larut, Raintown, Dataran Taiping, Spritzer Eco Park dan A60 Changkat Jering. Program ini bukan sahaja memberi peluang untuk para peserta melawati lokasi-lokasi menarik tetapi juga mengukuhkan ukhuwah yang sedia terjalin serta bertukar-tukar cerita dan pendapat. Isunya pula tidak terhad tentang dunia permotoran semata.
Sepanjang penganjuran, para peserta dilihat bergembira, berseronok dan berpuas hati dengan susunan program yang disediakan pihak penganjur. Tidak hairanlah jika satu hari nanti, ia menjadi program yang lebih besar dengan penyertaan lebih banyak pihak serta bermacam-macam aktiviti selingan diadakan. Teruskan bersilaturahim sehingga ke akhirnya.